Wed. Oct 15th, 2025

AI Global dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), BMC Mall, iBidan serta CelcomDigi hari ini mengumumkan penganjuran BMC Family 360°, sebuah pesta dan karnival keluarga yang membawa tema ‘A Step to the Future’. Acara berskala besar ini akan berlangsung di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras bermula 19 hingga 21 September 2025, dari jam 10 pagi hingga 10 malam, dan merupakan kali pertama ia dianjurkan di kawasan tersebut.

Berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG), BMC Family 360° menekankan kepentingan nilai kekeluargaan, pembinaan komuniti mampan serta gaya hidup pintar. Ia bakal menampilkan pelbagai aktiviti interaktif, pameran, pertunjukan dan hiburan yang sesuai dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif AI Global, Prof. Dr. Ng Kheng Lun berkata, BMC Family 360° bukan sekadar sebuah pesta atau karnival biasa, tetapi platform komuniti yang mampu membawa keluarga melangkah ke arah masa depan lebih sejahtera dan berdaya tahan. Beliau menegaskan bahawa kekuatan keluarga merupakan asas kepada sebuah masyarakat yang makmur dan harmoni.

Bagi menyerikan lagi acara ini, pihak penganjur turut mengumumkan pelantikan penyanyi popular tanah air, Nabila Razali, sebagai Jurucakap Acara BMC Family 360°. Nabila dipilih kerana pengaruhnya sebagai ikon generasi muda selain keperibadiannya yang dekat dengan nilai kekeluargaan, sekali gus seiring dengan misi dan visi acara tersebut.

Dalam kenyataannya, Nabila meluahkan rasa teruja apabila diberi peluang untuk bersama-sama memeriahkan karnival ini. Beliau menyifatkan penglibatannya sebagai satu cara untuk meraikan peranan keluarga dalam membentuk masa depan yang lebih baik. Sebagai seorang ibu, isteri dan wanita berkerjaya, Nabila turut berkongsi pandangannya mengenai UN SDG yang menurutnya memberi pelan tindakan menyeluruh dalam membina keluarga yang mampan, aman dan makmur. Katanya, melalui SDG, beliau sedar bahawa aspek kemampanan bukan sahaja melibatkan alam sekitar tetapi juga merangkumi bidang sosial dan ekonomi.

Sepanjang tiga hari penganjuran, BMC Family 360° akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk segmen esports, pertunjukan kebudayaan, pameran inovasi dalam pendidikan, teknologi, kesihatan serta gaya hidup lestari. Kehadiran mini zoo turut dijangka menjadi tarikan utama untuk seisi keluarga. Tidak ketinggalan, Nabila Razali sendiri akan terlibat dalam beberapa segmen khas seperti sesi bertemu peminat, persembahan istimewa dan kempen promosi menjelang acara utama.

Prof. Dr. Ng turut merakamkan penghargaan kepada MPKj, BMC Mall, iBidan, CelcomDigi serta semua rakan strategik dan penaja yang bersama menjayakan penganjuran ini. Menurut beliau, tema “Selangkah ke Masa Depan” yang dipilih untuk tahun ini melambangkan satu langkah awal yang mungkin mencabar, tetapi sangat penting dalam membawa perubahan kepada masyarakat.

BMC Family 360° dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung sepanjang berlangsungnya karnival tersebut dengan penyertaan komuniti dari Kajang, Cheras dan kawasan sekitar Lembah Klang. Ia sekali gus menjanjikan pengalaman berharga buat setiap keluarga yang hadir, seiring dengan matlamat untuk membina masa depan lebih cerah, mampan dan penuh makna.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *