Filem Paraxnormal tampil sebagai sebuah karya segar dalam genre seram tempatan dengan gabungan elemen seram psikologi, komedi gelap serta konflik persahabatan yang unik. Diterbitkan oleh Nanord Studio Production, naskhah ini bukan sekadar menampilkan kisah makhluk ghaib semata-mata, sebaliknya turut menyelami sisi gelap sifat manusia seperti ketamakan, dendam dan pengkhianatan. Menurut penerbitnya, Nurul Ain Nordin, idea menghasilkan karya ini muncul secara tidak dijangka sewaktu sesi perbualan santai bersama sahabatnya, pelakon dan penulis skrip Epy Kodiang yang juga membintangi filem berkenaan.
Ain menjelaskan, mereka pernah bekerjasama dalam sebuah naskhah seram komedi sebelum ini dan yakin genre tersebut masih mempunyai peminat setia. Justeru, lahirlah Paraxnormal sebagai sebuah karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut menyampaikan mesej mendalam tentang realiti bahawa kadangkala yang menakutkan bukanlah hantu, sebaliknya sahabat sendiri.
Paraxnormal mengangkat kisah empat sahabat karib iaitu Yasin, Asri, Fateh dan Anas yang terpisah sejak kecil. Selepas tiga dekad, mereka bertemu semula dan Anas mencadangkan satu rancangan gila untuk merompak sebuah vila terbiar dikenali sebagai Vila Casablanca. Vila itu dikatakan berhantu, namun menyimpan harta bernilai lebih RM10 juta. Apa yang mereka temui akhirnya jauh lebih menyeramkan daripada sekadar hantu, apabila kisah itu membuka lembaran konflik jiwa, rahsia persahabatan, dan sisi gelap manusia yang tidak dijangka.

Barisan pelakon yang membintangi Paraxnormal juga menjadi tarikan utama. Filem ini menampilkan Joey Daud sebagai Yasin, Azhan Rani sebagai Asri, Epy Kodiang sebagai Fateh, dan Amir Nafis sebagai Anas. Turut sama ialah pelakon berpengalaman Ellie Suriaty Omar serta Kamarool Haji Yusoff yang melengkapkan kekuatan lakonan. Menurut Ain, gabungan pelakon berpengalaman dan generasi baharu itu berjaya mewujudkan keserasian luar biasa hingga menjadikan filem ini sebuah naskhah segar dan layak ditonton di pawagam.
Menariknya, Paraxnormal pada asalnya dirancang sebagai sebuah Super Telemovie pada tahun 2023. Namun, selepas melihat potensi besar jalan ceritanya, ia akhirnya diputuskan untuk dibawa ke layar perak. Walau bagaimanapun, proses penggambaran tidak semudah yang disangka. Ain mendedahkan, antara cabaran yang ditempuhi termasuk masalah teknikal seperti monitor dan kabel rosak walaupun telah diganti, selain insiden aneh yang sukar dijelaskan. Ada kru mendakwa terlihat dua bayangan Ain serentak di lokasi, sementara seorang penolong pengarah tiba-tiba mengamuk tanpa sebab sebelum pengsan, sehingga penggambaran terpaksa dihentikan buat sementara waktu.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Ain menaruh harapan agar Paraxnormal yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 28 Ogos 2025 diterima baik oleh penonton. Baginya, Paraxnormal bukan sahaja sebuah filem seram biasa, sebaliknya sebuah naskhah yang menyatukan tawa, jeritan dan persoalan psikologi, seterusnya meninggalkan kesan mendalam terhadap sesiapa yang menontonnya.