Fri. Oct 17th, 2025

Hype Live dan Black Sky Enterprise dengan bangga mempersembahkan POP UP MUZIK, sebuah inisiatif muzik baharu yang diwujudkan khusus untuk merapatkan artis-artis Asia dengan peminat di Malaysia. Edisi sulung ini tampil istimewa dengan persembahan eksklusif Armada, band legenda dari Indonesia yang terkenal dengan deretan lagu malar segar, serta kemunculan kumpulan pujaan ramai Batas Senja yang semakin mendapat tempat di hati pendengar tempatan melalui karya puitis penuh emosi.

Acara berprestij ini akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2025, menjanjikan lebih daripada sekadar sebuah konsert. Selari dengan misi Hype Live untuk menjadi penghubung budaya dan muzik rentas negara, POP UP MUZIK dicipta bagi memberikan pengalaman yang lebih intim, interaktif dan penuh momen istimewa kepada para peminat.

“Kami tahu peminat di Malaysia sudah lama merindui peluang untuk berinteraksi lebih dekat dengan artis kegemaran mereka dari luar negara,” kata Dipta, Ketua Pegawai Eksekutif Hype Live. “POP UP MUZIK adalah jawapan kepada kerinduan itu, sebuah platform yang memberikan pengalaman peribadi dan mesra bersama artis, termasuk sesi Meet & Greet dan peluang bergambar eksklusif.”

Bagi pihak Black Sky, Willy Dozan menyifatkan gabungan Armada dan Batas Senja sebagai percaturan berani kerana kedua-dua band ini belum pernah tampil bersama di pentas POP UP MUZIK di Kuala Lumpur. Beliau menegaskan bahawa sambutan hangat peminat terhadap kedua-dua kumpulan ini menjadi bukti bahawa persembahan kali ini bakal mencipta kenangan manis. “Kami yakin gabungan Armada dan Batas Senja akan menghiburkan serta meninggalkan memori indah buat semua yang hadir di Zepp Kuala Lumpur nanti,” ujarnya.

Armada dijangka menggamatkan suasana dengan lagu-lagu popular mereka seperti Asal Kau Bahagia dan Pergi Pagi Pulang Pagi yang pasti membuat seluruh dewan bergema dengan nyanyian bersama. Sementara itu, Batas Senja bakal menyentuh jiwa dengan karya-karya indah mereka seperti Nanti Kita Seperti Ini, Kita Usahakan Lagi dan Menceritakanmu. Gabungan dua kumpulan ini diyakini akan menghasilkan malam yang penuh warna, sarat emosi dan harmoni, sekaligus mencipta pengalaman yang akan dikenang lama oleh setiap penonton.

POP UP MUZIK bukan sahaja sebuah konsert tetapi juga platform untuk membina komuniti peminat muzik yang lebih erat di Malaysia. Inisiatif ini menekankan hubungan rapat antara artis dan peminat melalui acara eksklusif, sesi interaktif dan persembahan yang lebih bermakna. Tiket kini sudah mula dijual di HYPELIVE MY.TIXR.COM/POPUPMUZIK dan peminat diseru untuk segera mendapatkan peluang menjadi sebahagian daripada malam bersejarah ini.

Hype Live sebagai penganjur konsert dari Indonesia dikenali dengan visi membawa pengalaman hiburan segar ke seluruh Asia Tenggara. Mereka percaya bahawa interaksi bermakna antara artis dan peminat adalah kunci dalam mencipta momen konsert yang berkesan dan abadi. Black Sky pula tampil sebagai peneraju baharu dalam industri hiburan Malaysia dengan kepakaran membawa artis hebat dari Indonesia ke pentas tempatan, sekali gus menjadi penghubung budaya antara dua negara jiran.

POP UP MUZIK hadir bukan sekadar sebagai sebuah acara tetapi sebagai jambatan muzik dan budaya yang mendekatkan peminat dengan idola mereka. Pada malam 17 Oktober nanti, Zepp Kuala Lumpur akan menjadi saksi kepada getaran muzik, emosi dan kenangan indah yang pastinya sukar dilupakan.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *