Sun. Oct 19th, 2025

Mahiaddin, PDF dan ‘Kestabilan’ Bersatu Yang Rapuh. Penggunaan fail PDF oleh Tan Sri Mahiaddin Yassin ketika era pandemik COVID-19 kini semakin jelas relevannya, khususnya apabila dibandingkan dengan keadaan Perhimpunan Agung Bersatu baru-baru ini yang bertukar menjadi medan kecoh. Pada waktu pandemik, strategi ringkas beliau memuat naik ucapan dalam bentuk PDF berjaya mencipta gambaran stabil – rakyat membacanya senyap di rumah tanpa suara bantahan, tanpa jeritan, dan tanpa huru-hara. Namun, kestabilan yang kelihatan itu hakikatnya bukan datang daripada kepimpinan beliau, tetapi daripada sifat sebuah dokumen digital yang senyap dan neutral.

Kontrasnya, suasana dalam perhimpunan agung Bersatu baru-baru ini jelas mendedahkan realiti sebaliknya. Ucapan secara langsung tidak lagi mampu mengawal keadaan apabila pertikaman lidah, jeritan penyokong, malah adegan ahli naik ke kerusi mewarnai majlis. Tanpa “perantara senyap” bernama PDF, wajah sebenar parti yang kononnya menjunjung slogan kestabilan ini bertukar menjadi huru-hara terbuka.

Keadaan ini tidaklah terlalu mengejutkan. Bersatu sejak awal dikenal sebagai parti yang dihuni oleh ramai ahli lompat parti. Label “parti katak” begitu sinonim dengan mereka, dan kini gelagat melompat-lompat itu seakan terbawa pula ke dalam pentas perhimpunan, membentuk budaya politik yang rapuh dan tidak konsisten. Ironinya, parti yang pernah menjaja slogan “PN Best” dan kestabilan politik kini mempamerkan wajah paling tidak stabil, bukan sahaja di mata rakyat tetapi di hadapan penyokong sendiri.

Persoalan yang timbul kini: adakah pada perhimpunan akan datang, presiden Bersatu sekali lagi perlu kembali kepada strategi lamanya — berucap melalui fail PDF — demi mengekalkan sekurang-kurangnya ilusi kestabilan dalam partinya sendiri?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *