Industri perfileman tempatan jarang sekali menampilkan karya bercorak sains fiksyen berbanding genre lain seperti seram, aksi dan komedi. Namun begitu, M Toons Media Sdn. Bhd. tampil dengan keberanian untuk menghasilkan sebuah filem bertemakan kaiju pertama di Malaysia berjudul Abu Si Raksasa. Filem ini mengetengahkan kisah seekor cicak salamander yang berubah menjadi raksasa akibat pencemaran, membawa mesej penting tentang kesedaran alam sekitar yang digarap dalam bentuk hiburan.
Penerbitnya, Zamin Fakry, menjelaskan bahawa idea menghasilkan filem ini bermula daripada perbincangan bersama Profesor Dr. Hezri Adnan, seorang ahli akademik alam sekitar. Inspirasi tersebut kemudian mendorong mereka menghasilkan sebuah naskhah sains fiksyen yang menyentuh isu pencemaran, sekali gus membuka ruang baharu dalam industri perfileman tempatan.
Filem ini mengisahkan tentang Zaara, lakonan Sophia Al Barakbah, yang memelihara seekor cicak salamander bernama Abu. Namun, haiwan itu terlepas ke sebuah empangan yang telah tercemar dengan bahan kimia daripada produk pencuci tandas berjenama ROXCCID. Akibat pencemaran tersebut, Abu bermutasi dan membesar menjadi seekor raksasa. Situasi ini memaksa Zaara bersama dua rakannya, Sofiyan yang dilakonkan Jaa Suzuran dan Zidan yang dibawakan oleh Zalif Sidek, untuk menyelamatkan Abu daripada ancaman pihak berkuasa yang mahu menghapuskannya. Mereka berdepan dengan Kolonel Zamrose serta Kapten Fayyad yang dilakonkan Afieq Shazwan, yang mengetuai operasi menentang makhluk tersebut.

Menurut Zamin, keistimewaan filem ini bukan sahaja terletak pada jalan ceritanya tetapi juga kerana ia menjadi filem kaiju pertama yang dihasilkan di Malaysia. Walaupun kos penerbitannya sekitar RM2 juta dianggap sederhana untuk genre sebegini, sebahagian besar bajet digunakan bagi menghasilkan kesan khas visual (CGI dan VFX). Bantuan dana daripada Kementerian Komunikasi serta FINAS turut menjadi dorongan utama bagi menjayakan projek ini.
Pengarah filem, Ramdan Che Hassan, yang juga penulis skrip, berkongsi bahawa cicak salamander dipilih sebagai tunjang cerita kerana sifat unik haiwan tersebut. Sebagai spesies amfibia yang mampu hidup di dua alam, terdapat juga laporan bahawa salamander mampu membesar hingga ke saiz yang luar biasa. Tambahnya, cicak salamander bukanlah haiwan yang ganas, malah sesuai dipelihara, menjadikannya lebih dekat dengan realiti masyarakat dan sekaligus memperkukuh penceritaan dalam filem ini.
Proses penggambaran telah berlangsung sekitar Lembah Klang pada September 2023 termasuk di lokasi seperti Tasik Tadom, Kajang, Banting dan Sungai Buaya. Ramdan mengakui cabaran terbesar adalah menghasilkan imaginasi visual yang mantap kerana hampir 40 peratus daripada filem ini bergantung pada CGI. Justeru, kajian mendalam dan ketelitian diperlukan untuk memastikan setiap babak mampu memberikan impak kepada penonton.
Abu Si Raksasa menampilkan barisan pelakon popular tanah air termasuk Sophia Al Barakbah, Jaa Suzuran, Zalif Sidek, Afieq Shazwan, Azhar Sulaiman dan Maria Farida, selain kemunculan khas daripada beberapa figura terkenal. Filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 11 September 2025 dan dijangka menjadi penanda aras baharu dalam usaha mengangkat genre sains fiksyen tempatan ke tahap lebih tinggi.