Dua gergasi muzik tanah air bakal menggegarkan Stadium Sarawak, Kuching pada 13 Disember 2025 menerusi sebuah konsert yang diberi nama Konsert Fenomena Samurai. Peminat muzik tempatan tidak perlu meneka terlalu lama kerana hanya dengan menyebut perkataan Fenomena dan Samurai, sudah cukup untuk membayangkan gabungan dua nama legenda yang akhirnya dipertemukan di atas pentas yang sama.
Konsert Fenomena Samurai akan menyaksikan Search dan XPDC, dua kugiran yang mempunyai sejarah panjang dalam industri muzik tanah air, bersatu bagi menghidupkan kembali aura rock yang pernah mencorakkan landskap hiburan Malaysia sejak era 80-an. Search yang kini diterajui Din dan Kid, bersama XPDC dengan barisan Izo, Lola, Eddie, Arif dan Mamu, dijangka akan menghadiahkan sebuah persembahan yang sarat dengan tenaga, emosi dan nostalgia buat para peminat.
Penganjur bersama, Seri Simfoni dan Bintang Batu Event menegaskan bahawa Konsert Fenomena Samurai bukan sekadar sebuah konsert biasa. Ia adalah sebuah projek seni yang dirancang dengan penuh teliti demi memastikan kredibiliti Search dan XPDC yang selama ini dihormati tidak tergadai. Menurut wakil penganjur, Atom atau Ikhram, keutamaan diberikan kepada kualiti muzik, bunyi dan keseluruhan pengalaman yang bakal dirasai penonton. Mereka mahu konsert ini menjadi sebuah penganjuran bertaraf piawaian tersendiri yang mampu dikenang sebagai salah satu konsert rock paling epik di Malaysia.

Bagi Din, konsert ini bukan hanya tentang mempersembahkan lagu-lagu ikonik Search dan XPDC, tetapi lebih daripada itu, ia adalah lambang penghargaan kepada peminat setia yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan penuh cabaran kugiran tersebut. Beliau percaya bahawa penonton yang hadir bukan sekadar mahu mendengar lagu-lagu lama, tetapi juga mahu menghayati semangat perjuangan, kecintaan serta nilai nostalgia yang terkandung dalam setiap persembahan mereka.
Tiket awal Konsert Fenomena Samurai telah mula dijual bermula 5 September 2025 pada harga RM250 untuk kategori VIP, RM188 untuk MOSH, RM104 untuk Free Standing, RM160 untuk Silver dan RM90 untuk Bronze. Selepas itu, tiket akan dijual pada harga biasa iaitu RM359 untuk VIP, RM269 untuk MOSH, RM149 untuk Free Standing, RM229 untuk Silver dan RM129 untuk Bronze sehingga menjelang tarikh konsert. Pembelian boleh dibuat menerusi laman web rasmi http://fenomenasamurai.ubertickets.asia/.
Konsert Fenomena Samurai yang dianjurkan oleh Seri Simfoni Sdn Bhd dan Bintang Batu Event dengan kerjasama strategik Rampage Studioworks serta rakan penaja Yellowhello ini diyakini akan mencipta gelombang baharu dalam sejarah konsert rock negara. Ia bukan sahaja sebuah pentas untuk menghidupkan semula memori, tetapi juga simbol penyatuan dua nama besar yang terus relevan merentas generasi.
Pada malam 13 Disember 2025, Stadium Sarawak akan menjadi saksi kepada sebuah pertemuan legenda. Fenomena akan bertemu Samurai, dan di situlah sejarah baharu muzik rock tanah air akan tercipta.