Wed. Dec 3rd, 2025

Bayangkan sebuah kisah cinta yang tidak hanya menguji hati, tetapi juga melangkaui batas masa. Itulah yang menanti penonton dalam filem romantik fantasi Sore: Istri dari Masa Depan, yang bakal menghiasi layar pawagam seluruh Malaysia bermula 25 September 2025.

Namun sebelum kita hanyut dalam kisah Jonathan dan Sore, ada baiknya kita mengenali lebih dekat wajah sebenar di sebalik watak utama ini. Dion Wiyoko dan Sheila Dara Aisha sering disebut sebagai pasangan pelakon paling serasi di layar, malah kerjasama mereka sudah berulang kali memikat hati penonton dengan chemistry yang begitu semula jadi.

Sheila Dara Aisha kini berada di puncak populariti dengan lakonan versatilnya. Perjalanan seninya bermula sejak kecil apabila beliau menjadi sebahagian daripada trio Arvaby dan duta McKids sekitar tahun 2000. Suaranya pula pernah menghiasi lagu tema kartun ikonik Crayon Shinchan dan Hamtaro dalam versi Indonesia, sesuatu yang mungkin tidak ramai ketahui. Dunia lakonan mula benar-benar menjadi miliknya pada tahun 2013 melalui filem Romantini. Dari situ, namanya terus berkembang dengan deretan karya berimpak besar seperti Marmut Merah Jambu pada 2014, Sabtu Bersama Bapak pada 2016, Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini pada 2020 dan Jatuh Cinta Seperti di Film Film pada 2023. Dengan setiap watak yang dibawanya, Sheila membuktikan dirinya sebagai bintang yang matang seiring dengan zaman.

Sementara itu, Dion Wiyoko kembali menghidupkan watak Jonathan yang sudah diperkenalkan sejak webfilm Sore pada 2017. Sebelum bergelar pelakon, Dion terlebih dahulu menapak di dunia permodelan setelah menjuarai pertandingan majalah Aneka Yess! dalam kategori Wajah Oriental, seakan versi Hero Remaja di Malaysia. Nama Dion mula benar-benar meledak apabila membawakan watak Yohan dalam Cek Toko Sebelah. Lakonannya yang penuh jiwa bukan sahaja mendapat perhatian luas, malah mengangkatnya sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Paling Popular di Indonesian Movie Actors Awards, di samping beberapa pencalonan berprestij lain. Filem-filem lain seperti Mimpi Sejuta Dolar pada 2014, Karier, Cinta dan Timbangan pada 2019, serta Jatuh Cinta Seperti di Film Film pada 2023 turut menyerlahkan bakatnya yang pelbagai. Di luar layar, Dion menyalurkan minat mendalamnya dalam dunia fotografi. Hobi ini bukan sekadar mengisi masa lapang kerana beberapa hasil bidikan lensanya turut dipamerkan dalam Sore: Istri dari Masa Depan, menjadikan sentuhannya terhadap filem ini lebih peribadi dan dekat di hati.

Apabila dua figura hebat ini digandingkan, hasilnya pastinya tidak mengecewakan. Penonton sebelum ini sudah menyaksikan keserasian mereka mekar dalam beberapa projek terdahulu, dan kali ini Sore: Istri dari Masa Depan menjanjikan dimensi baharu yang lebih menyentuh emosi. Tidak hairanlah tayangan awal filem ini di Indonesia menerima pujian meluas, dengan ramai penonton mengaku sanggup menontonnya berulang kali kerana kisahnya yang indah dan penuh makna.

Cinta, masa, dan pilihan hidup menjadi teras kepada naskhah romantik fantasi ini. Apa yang bakal berlaku apabila cinta diuji oleh perjalanan waktu? Jawapannya bakal ditemui di pawagam bermula 25 September 2025. Untuk mengikuti perkembangan terkini dan kandungan eksklusif mengenai filem ini, orang ramai boleh mengikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *