Filem romantis sains fiksyen dari Indonesia berjudul Sore: Istri dari Masa Depan semakin mencuri perhatian penonton di Malaysia menjelang tayangannya tidak lama lagi. Kurang daripada tiga minggu sebelum mula dipertontonkan, keterujaan khalayak tempatan semakin terserlah apabila ramai yang sudah mula merancang untuk menjadi antara penonton terawal sebaik sahaja tayangan perdana berlangsung di pawagam.
Pelancaran treler rasmi baru-baru ini berjaya mencetuskan perbualan hangat di media sosial. Ruangan komen dibanjiri dengan pelbagai reaksi positif daripada netizen Malaysia yang menantikan detik untuk menyaksikan karya penuh ini. Ada yang mengimbau kembali pengalaman menonton siri asal di platform digital, manakala sebahagian besar pula meluahkan rasa syukur kerana akhirnya filem ini dibawa masuk ke pawagam tempatan.

Sambutan hangat ini secara tidak langsung membuktikan pengaruh filem Indonesia yang semakin kukuh di Malaysia, khususnya dalam kalangan penonton yang gemar menikmati kisah cinta dengan elemen unik dan segar. Paduan antara romantik dan sains fiksyen melalui konsep perjalanan merentas masa serta persoalan takdir menjadikan Sore: Istri dari Masa Depan sebuah karya yang berbeza daripada kebiasaan.
Bagi mereka yang menggemari kisah cinta sarat emosi dengan jalan cerita yang mampu meninggalkan kesan, filem ini dijangka menjadi pilihan wajib tonton pada tahun ini. Tayangan rasmi akan bermula pada 25 September 2025 di seluruh pawagam Malaysia.
Untuk mendapatkan perkembangan terkini dan kandungan eksklusif mengenai filem ini, orang ramai boleh mengikuti saluran rasmi Primeworks Studios di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube.