Healing Night 2026: Terapi Muzik di Lokasi Ikonik dengan Sentuhan Nusantara. Mengambil inspirasi daripada istilah masa kini yang cukup popular iaitu healing, yang membawa maksud pemulihan atau penyembuhan diri, penganjuran Healing Night 2026 hadir sebagai satu keraian yang menggabungkan hiburan, emosi dan semangat positif melalui muzik. Acara yang dijadualkan berlangsung pada 24 Januari 2026 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur ini merupakan hasil gabungan mantap tiga entiti berpengalaman — Kembar Nusantara Sdn Bhd selaku penganjur dan ‘presenter’, disokong oleh Creative Page Sdn Bhd untuk produksi dan Yumeca Sdn Bhd bagi strategi, pemasaran serta penglibatan pengguna.

Menurut penganjur, Healing Night 2026 bukan sekadar konsert hiburan biasa, sebaliknya bertujuan membawa penonton menikmati pengalaman terapeutik melalui alunan muzik yang membangkitkan semangat positif. Pentas ikonik ini bakal digegarkan oleh barisan penghibur berkaliber seperti Anuar Zain, Ella dan Dayang Nurfaizah dari Malaysia serta Kangen Band dan Lyodra dari Indonesia — simbolik kepada apresiasi seni dan perpaduan budaya Nusantara.
Ketua Pegawai Eksekutif Yumeca Sdn Bhd, Herman Aziz, menjelaskan bahawa konsep healing yang diterapkan adalah satu inisiatif untuk menonjolkan bahawa muzik bukan sekadar hiburan yang bising, tetapi juga medium penyembuhan emosi dan minda. “Selepas pandemik, ramai memilih pelbagai cara untuk pulih dan menenangkan diri, dan kami percaya muzik adalah antara terapi terbaik,” ujarnya.

Menariknya, tema Healing Night 2026 diterjemahkan secara menyeluruh — bukan hanya melalui persembahan, tetapi juga dalam suasana konsert, reka bentuk pentas serta zon istirahat seperti healing tents dan relaxation zones yang direka untuk memberi pengalaman menyeluruh kepada penonton.
Acara ini turut menerima sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang melihat penganjuran tersebut sebagai inisiatif penting menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Shaharudin, menyifatkan Healing Night 2026 sebagai contoh terbaik usaha penggiat industri tempatan yang mampu menganjurkan acara bertaraf dunia serta mengukuhkan hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia.

Sementara itu, Ella, salah seorang penghibur utama, turut melahirkan rasa teruja untuk menjadi sebahagian daripada konsert berkonsepkan terapi muzik ini. “Konsep Healing Night sangat segar dan relevan dengan situasi masa kini. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu bentuk terapi untuk melepaskan tekanan dan mengisi jiwa dengan tenaga positif,” katanya.
Bagi mereka yang ingin menikmati malam penuh makna ini, Healing Night 2026 menjanjikan pengalaman baharu yang menggabungkan muzik, kesejahteraan dan semangat perpaduan di lokasi penuh sejarah, Stadium Merdeka. Tiket dengan pelbagai kategori boleh didapati menerusi Ticket2u.

INFORMASI PENGANJURAN
ACARA: HEALING NIGHT 2026
ARTIS: ELLA, ANUAR ZAIN, KANGEN BAND, DAYANG NURFAIZAH, LYODRA
LOKASI: STADIUM MERDEKA, KUALA LUMPUR
TARIKH: 24 JANUARI 2026
PENGANJUR: YUMECA SDN BHD, KEMBAR NUSANTARA SDN BHD, CREATIVE PAGE SDN BHD
RAKAN RASMI: AUDI, ST REGIS
RAKAN MEDIA: ASTRO, ERA, SINAR FM
HARGA & KATEGORI TIKET: Bermula dari RM190
PEMBELIAN TIKET: www.ticket2u.com.my
