Thu. Oct 16th, 2025
COVER ALBUM - JANDANYER YEAH YEAHCOVER ALBUM - JANDANYER YEAH YEAH

Penyanyi, penulis lagu dan ikon hip hop tanah air, Cat Farish kembali mencuri perhatian dengan memperkenalkan alter ego terbarunya yang diberi nama Si Penghulu. Menerusi persona baharu ini, Cat Farish tampil dengan single sulung berjudul Jandanyer Yeah Yeah, sebuah karya unik yang menggabungkan elemen hip hop, afrobeat serta identiti bahasa dan budaya masyarakat Perak. Lagu ini ditulis bersama oleh Cat Farish dan Illegal, dirakam di Platinum Studio, Damansara Perdana, serta diterbitkan dan diedarkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd.

Jandanyer Yeah Yeah bukan sekadar sebuah karya hiburan, tetapi membawa mesej penghormatan kepada wanita bergelar janda yang bangkit penuh keyakinan selepas perpisahan. Dengan gaya bersahaja dan jenaka berlapik, Si Penghulu menggambarkan semangat wanita yang terus melangkah dengan keazaman dan keanggunan, sehingga menjadi rebutan kembali bukan kerana rupa semata-mata, tetapi kerana kekuatan diri. “Lagu ni untuk beri semangat pada janda-janda kat luar sana. Yang bangkit, bersiap, dan buat lelaki menyesal tinggalkan dia,” ujar Cat Farish.

Watak Si Penghulu sendiri lahir ketika sesi kolaborasi bersama Malique menerusi lagu “Ok”, dan sejak itu dikembangkan sebagai saluran Cat Farish untuk menyampaikan karya hip hop bercirikan bahasa dan budaya tempatan. Dengan loghat Perak dan gaya rakyat moden, Si Penghulu menjadi simbol suara masyarakat dalam nuansa yang segar dan dekat dengan jiwa pendengar. Inspirasi pembikinan lagu ini juga lahir daripada sokongan isteri beliau, Shikin Maembong, yang turut memberi semangat sepanjang perjalanan kreatif projek ini.

Menariknya, idea dan konsep Jandanyer Yeah Yeah telah mengambil masa lebih dua tahun untuk dimuktamadkan sebelum proses rakaman disempurnakan. Cat Farish mengakui bahawa penekanan terhadap lirik dan penyampaian menjadi kunci utama dalam memastikan mesej lagu benar-benar sampai kepada pendengar. Dengan pelancaran ini, Si Penghulu muncul sebagai figura hip hop beridentiti rakyat di bawah naungan Luncai Emas, sekali gus membuka lembaran baharu bagi genre urban tempatan.

Single Jandanyer Yeah Yeah bakal dilancarkan secara rasmi pada 22 Ogos 2025 di semua platform digital dan saluran YouTube rasmi Luncai Emas. Cat Farish berharap karya terbaharunya ini dapat memberi inspirasi, hiburan, serta diterima dengan baik oleh para peminat muzik dan media tanah air.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *