Mon. Nov 3rd, 2025

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menyambut baik pengumuman peruntukan sebanyak RM2.4 bilion oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, untuk FELDA, RISDA dan FELCRA. Peruntukan ini jelas mencerminkan keprihatinan serta komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran MADANI dalam melindungi kebajikan lebih 720,000 peneroka, pekebun kecil dan keluarga mereka di seluruh negara. Langkah ini bukan sahaja menjamin kesejahteraan komuniti tanah rancangan, malah berfungsi sebagai pemangkin utama dalam memperkukuh kemampanan sosioekonomi sektor perladangan negara.

Selaras dengan fokus Belanjawan 2026 yang menekankan inovasi dan mekanisasi pertanian, FELDA turut menyambut baik kenyataan Perdana Menteri mengenai pengambilalihan FGV sebagai usaha strategik untuk memastikan kelestarian jangka panjang organisasi tersebut. FELDA akan terus memperkukuh ekosistem perladangan pintar dan lestari melalui penerapan teknologi baharu bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing serta memaksimumkan nilai rantaian industri sawit negara. Usaha ini seiring dengan pelaksanaan Pelan Strategik FELDA 2025–2030 yang memberi tumpuan kepada peningkatan daya saing global dan kesejahteraan komuniti peneroka secara menyeluruh.

FELDA menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap peruntukan yang diterima dimanfaatkan secara optimum berasaskan prinsip integriti dan tadbir urus terbaik. Setiap inisiatif yang dirancang akan dilaksanakan dengan keutamaan kepada hasil nyata di peringkat akar umbi agar manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh para peneroka serta generasi baharu FELDA, sekali gus memperkukuh peranan FELDA sebagai tonggak pembangunan sosioekonomi luar bandar dan pertanian negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *