Rumah Produksi Merah Sdn. Bhd. dengan penuh kebanggaan mengumumkan penganjuran Konsert WINGS 4 Dekad Terbang Tinggi, yang bakal menggamatkan pentas IDEA LIVE Arena, 3 Damansara pada 28 November 2025. Konsert eksklusif ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para peminat setia kumpulan legenda rock tanah air, WINGS, yang kini meraikan 40 tahun penglibatan mereka dalam industri muzik Malaysia. Menurut vokalis tersohor, Dato’ Awie, persembahan kali ini akan menampilkan konsep yang berbeza dan lebih istimewa berbanding konsert-konsert mereka sebelum ini, sekaligus menjanjikan pengalaman yang sarat dengan nostalgia dan kenangan indah buat semua yang hadir.
Dalam masa yang sama, Dato’ Eddy Amir, Pengarah Urusan Rumah Merah Sdn. Bhd. (RPM), turut mendedahkan bahawa setiap pembeli tiket akan menerima barangan eksklusif sebagai door gift, bergantung pada kategori tiket yang dibeli. Menariknya, fasa pra-pendaftaran tiket yang dibuka pada 17 Julai 2025 dengan tawaran diskaun 10% telah menerima sambutan luar biasa apabila lebih 1,000 pendaftaran diterima dalam tempoh dua jam pertama, dan kini jumlahnya telah melebihi 2,000 pendaftar. Sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan luar biasa peminat, RPM melanjutkan tempoh diskaun hingga 20 Julai 2025, jam 11.59 malam.

Selepas itu, pra-pendaftaran biasa tanpa diskaun akan berlangsung dari 21 hingga 24 Julai 2025, memberi peluang kepada mereka yang mendaftar untuk membeli tiket lebih awal daripada jualan umum yang bermula 25 Julai 2025, jam 11 pagi. Tiket untuk jualan umum pula akan mula ditawarkan pada 30 Julai 2025 (Rabu), jam 11 pagi menerusi platform rpm.uberticket.asia, dengan harga bermula serendah RM240. Pembeli juga boleh memilih untuk membuat bayaran secara ansuran dua kali menerusi platform Ubertickets bagi memudahkan proses pembelian.
Konsert yang sangat dinanti-nantikan ini akan menampilkan kapasiti terhad hanya 4,444 tempat duduk tanpa kategori berdiri, bagi menjamin keselesaan dan keselamatan penonton. Hanya individu berumur 12 tahun ke atas dibenarkan menghadiri acara ini. Menurut pihak penganjur, konsert ini akan menampilkan pentas bertaraf antarabangsa dengan sistem bunyi dan pencahayaan berteknologi tinggi, selain menawarkan hadiah-hadiah cabutan bertuah (Lucky Draw) yang eksklusif.

RPM menjanjikan bahawa Konsert WINGS 4 Dekad Terbang Tinggi bakal menjadi antara acara paling bersejarah dalam karier kumpulan ikonik ini, mempersembahkan kehebatan muzik dan semangat persaudaraan yang telah menjadi nadi kekuatan WINGS selama empat dekad. Para peminat diseru untuk tidak melepaskan peluang menghadiri sidang media rasmi akan datang, di mana butiran lanjut tentang konsep persembahan dan hadiah eksklusif bakal diumumkan. Untuk perkembangan terkini, ikuti media sosial rasmi mereka di Instagram, Facebook dan TikTok: @rpmevents.
