Fri. Oct 31st, 2025
Gambar Publisiti Afgan - KacamataGambar Publisiti Afgan - Kacamata

Penyanyi tersohor Indonesia, Afgan, bakal kembali memukau peminat di Malaysia menerusi Afgan Retrospektif Showcase yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2025 di Zepp Kuala Lumpur. Showcase istimewa ini bersempena dengan pelancaran album terbaharunya berjudul Retrospektif, sebuah karya yang begitu peribadi kerana ia mencerminkan perjalanan hidup serta kerjayanya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini. Afgan sendiri menjelaskan bahawa judul Retrospektif dipilih kerana ia menggambarkan momen untuk menoleh kembali ke masa lalu, belajar daripada pengalaman yang ditempuhi, dan menjadikannya panduan untuk terus berkembang sebagai insan dan seniman. Album ini juga menjadi istimewa kerana ia merupakan album penuh berbahasa Indonesia pertama Afgan selepas tujuh tahun, menandakan titik balik dalam perjalanan muziknya serta kepulangan ke genre Indonesian Pop yang telah membesarkan namanya.

Bagi Afgan, Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam kerjayanya. Beliau menyifatkan Kuala Lumpur sebagai rumah keduanya kerana sokongan peminat tempatan yang sentiasa luar biasa. Justeru, tidak hairanlah beliau memilih Malaysia sebagai destinasi untuk mempersembahkan Retrospektif Showcase. Lebih istimewa lagi, pemilihan Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi persembahan dilakukan kerana tempat tersebut mampu mencipta suasana kasual dan intim, bersesuaian dengan konsep muzik dalam album terbarunya yang lebih organik dan ‘raw’. Afgan mahu peminat merasai sendiri pengalaman muzik yang jujur, dekat di hati, dan penuh emosi melalui showcase ini.

Dalam persembahan yang bakal dinantikan itu, Afgan berjanji akan membawakan lagu-lagu baharu daripada album Retrospektif dengan susunan muzik asal agar peminat Malaysia menjadi antara yang pertama mendengarnya secara langsung. Selain itu, beliau juga tidak akan melupakan rangkaian lagu popularnya yang telah menemani perjalanan peminat selama ini. Afgan berharap setiap lagu yang dibawakan bukan sekadar hiburan, tetapi mampu memberi makna mendalam, membangkitkan memori serta menjadi sumber inspirasi kepada para pendengar. Katanya, penghargaan terbesar sebagai seorang artis adalah apabila lagu-lagunya mampu memberi kekuatan dan semangat kepada peminat untuk menghadapi kehidupan dengan lebih optimis.

Penganjur showcase, Renjana Idea, turut meluahkan rasa bangga kerana dapat membawa kembali Afgan ke pentas Malaysia. Menurut wakil penganjur, persembahan kali ini bukan sahaja konsert biasa, tetapi juga refleksi perjalanan seni Afgan yang dekat dengan hati peminat. Mereka yakin Afgan Retrospektif Showcase akan menghadirkan pengalaman penuh emosi, sekali gus menjadi memori yang sukar dilupakan oleh peminat setia penyanyi berusia 36 tahun itu.

Tiket Afgan Retrospektif Showcase telah mula dijual sejak 1 Oktober menerusi laman web rasmi GoLive Asia. Harga tiket bermula daripada RM358 (General Standing), RM398 (VIP Standing), RM698 (Normal Seat), RM798 (Premium Seat), hingga RM1,398 (VIP Box). Dengan kapasiti terhad dan sambutan peminat yang tinggi, tiket dijangka laris dalam masa singkat.

Bagi peminat yang ingin mengikuti perkembangan terkini mengenai showcase ini, mereka boleh melayari laman sosial rasmi Renjana Idea atau mengikuti pengumuman rasmi penganjur di platform media sosial. Afgan Retrospektif Showcase bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi sebuah perjalanan emosi yang menyatukan Afgan dengan peminat setianya di Malaysia, mengukuhkan lagi hubungan istimewa yang telah lama terjalin antara penyanyi ini dengan para pendengarnya di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *