Tue. Oct 14th, 2025
MoA TVAH dan Yayasan Wakaf untuk Wakaf MediaMoA TVAH dan Yayasan Wakaf untuk Wakaf Media

TV AlHijrah dan Yayasan Wakaf Malaysia Perkukuh Dakwah Melalui Inisiatif Wakaf Media. Dengan semangat “Wakaf Anda, Dakwah Kami”, TV AlHijrah hari ini menandatangani Perjanjian Kerjasama Wakaf Tunai bersama Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), sekali gus memperkukuh peranan media Islam dalam menyebar, mendidik dan menggerakkan ummah ke arah amal jariah yang berkekalan. Kerjasama strategik ini membuka peluang lebih luas kepada masyarakat untuk menyalurkan sumbangan wakaf tunai bagi pelaksanaan wakaf media melalui platform Alhijrah Media Corporation, sambil menyokong pelbagai inisiatif pembangunan ummah yang digerakkan oleh YWM di seluruh negara.

Dengan termeterainya perjanjian ini, TV AlHijrah muncul sebagai stesen penyiaran Islam pertama di Malaysia yang menjadikan wakaf tunai sebagai agenda kerjasama rasmi. Inisiatif ini bukan sekadar kempen kesedaran, tetapi turut merangkumi pelaksanaan program bersama yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi. Melalui kerjasama ini, penonton berpeluang menyertai wakaf media dengan mudah melalui imbasan kod QR yang akan dipaparkan di skrin televisyen dan di platform digital TV AlHijrah. Dana yang dikumpul akan disalurkan khusus bagi membiayai penerbitan rancangan-rancangan dakwah seperti Quran@114 dan Hadith@114, yang menjadi teras kepada usaha melahirkan kandungan Islamik yang bermanfaat serta memperluas capaian dakwah kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, menegaskan bahawa dalam era moden ini, ramai yang ingin berbuat kebaikan namun mencari saluran yang diyakini. “Melalui kolaborasi ini, TV AlHijrah menjadi jambatan yang memudahkan penonton untuk beramal kebajikan secara telus, sah dan berkesan. Wakaf bukan sekadar instrumen ekonomi, tetapi ibadah yang mengikat hati kita dengan Allah dan meninggalkan manfaat kepada generasi seterusnya,” katanya. Beliau turut berharap agar inisiatif ini menjadi model rujukan bagi medium penyiaran Islam di rantau ini.

Namanzee juga menyeru umat Islam untuk menjadikan wakaf sebagai sebahagian daripada budaya hidup. “Jika kita boleh melazimi sedekah harian, maka wakaf tunai ialah sedekah berpanjangan yang tidak putus ganjarannya. Nilai kecil yang disumbang, apabila dikumpulkan, mampu membina sesuatu yang besar demi manfaat agama, bangsa dan negara,” tambahnya.

Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak yakin bahawa wakaf media akan menjadi salah satu teras dalam pengukuhan ekonomi umat Islam serta menghidupkan budaya berkongsi rezeki dan menyebar keberkatan dalam masyarakat. TV AlHijrah kekal komited untuk terus menyampaikan mesej Islam yang segar dan mendidik jiwa, membimbing masyarakat ke arah penghayatan nilai-nilai murni, agar dakwah terus hidup bukan sahaja di layar televisyen tetapi juga di hati penonton.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *