Komposer legenda tanah air, Awang BPR, yang terkenal dengan karya agung seperti Segalanya Ku Terima (Illusi), Hanya Padamu (Qiara) dan Umpama Mimpi Dalam Mimpi (Damasutra), kembali menghidupkan sentuhan magisnya melalui lagu “Hanya Doa”, kini dinyanyikan semula oleh Mohderzam, penyanyi berbakat besar dari Aceh. Lagu ini yang pada asalnya dibawakan oleh Achik Ukays pada tahun 2021, mendapat nafas baharu apabila produser Mohderzam, Suryadi, terpikat dengan keindahan melodi dan mesej mendalam lagu tersebut, lalu memutuskan untuk menghasilkan semula versi baharu yang lebih segar dan sesuai dengan trend semasa muzik “galau”.
Mohderzam, anak kelahiran Suak Raya, Aceh, mula dikenali menerusi kejayaan lagu Hanle Merindu pada tahun 2022 yang menjadi hit di pasaran Aceh. Beliau terus mencipta nama apabila mempersembahkan semula lagu klasik Payong Hitam dengan sentuhan moden, yang mendapat sambutan luar biasa daripada peminat tempatan. Aktif di platform digital seperti Instagram, TikTok dan YouTube, Mohderzam membawa persona artis muda yang versatil dan dekat dengan generasi baharu.
Menurut Mohderzam, peluang untuk membawakan “Hanya Doa” merupakan satu penghormatan besar baginya. “Lagu ini memiliki makna yang sangat mendalam dan disuntik dengan karya kreatif seorang komposer hebat Malaysia, Awang BPR,” katanya. Lagu ini turut menampilkan lirik nukilan I.Kay, yang berjaya mengekalkan keaslian dan kekuatan mesej asal sambil memperlihatkan nuansa dan jiwa Aceh dalam versi terbaharu ini.

Awang BPR pula menyifatkan kekuatan lagu terletak pada kesatuan antara melodi dan penyampaian penyanyi. “Irama dan lagu sentiasa seiringan. Semoga Hanya Doa menjadi siulan ramai dan terus diputarkan di semua media sosial,” katanya. Sementara itu, penulis lirik I.Kay menambah, “Dendangkanlah Hanya Doa dengan jiwa dan keikhlasan — biarkan ia hidup dalam sanubari pendengar.”
Penerbit tempatan Luncai Emas, yang bekerjasama dengan label rakaman Haba Music dari Aceh, turut melihat kolaborasi ini sebagai langkah penting dalam merapatkan hubungan muzik antara Malaysia dan Indonesia. Pengarah Urusan Haba Music, Muhammad Cut Adek, menyifatkan kehadiran Mohderzam di Malaysia sebagai batu loncatan besar bagi penyanyi kelahiran Aceh Barat itu untuk mengulangi jejak legendaris berdarah Aceh seperti Tan Sri P. Ramlee dan Bob Rizal.
Video muzik Hanya Doa versi Mohderzam dirakam di Gampong Atong, Aceh Besar, lokasi indah yang terkenal dengan pemandangan sawah menghijau dan laluan berliku yang sering tular di media sosial. Lagu ini telah dilancarkan di semua platform penstriman digital pada 10 Oktober, manakala video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas. Dengan kolaborasi rentas sempadan ini, Hanya Doa dijangka bukan sahaja menyatukan dua negara serumpun, tetapi juga mengukuhkan kedudukan muzik Nusantara di persada serantau.
