Tue. Nov 4th, 2025
Nad Zainal dilihat kembali berlakonNad Zainal dilihat kembali berlakon

Sejak September lalu, pelakon berbakat besar Nad Zainal kembali mencuri perhatian ramai apabila dilihat semakin aktif berkongsi gambar dan video di media sosial, menandakan dirinya kembali sibuk di lokasi penggambaran. Perkembangan itu sekaligus menimbulkan keterujaan peminat yang sudah lama menantikan kemunculan semula Nad di kaca televisyen. Penantian itu kini bakal terlerai apabila beliau tampil menerusi drama baharu terbitan Astro, berjudul Bahagia Yang Tertangguh, yang akan disiarkan menerusi slot Megadrama di Astro Ria bermula 17 November ini.

Berkongsi tentang pemilihannya terhadap naskhah tersebut sebagai projek “comeback”, Nad menjelaskan bahawa beliau tertarik dengan jalan ceritanya yang berbeza dan sarat dengan mesej kemanusiaan. “Saya rindu untuk kembali berlakon dalam drama bersiri. Bila dapat tawaran ini, saya baca novelnya dan terus tertarik dengan isu ‘ipar toksik’ yang jarang diketengahkan dalam drama tempatan,” katanya.

Dalam Bahagia Yang Tertangguh, Nad memegang watak Nurin Hana, seorang ibu tunggal yang berdepan tekanan hidup hingga mengalami gangguan anxiety. Bagi memastikan lakonannya tampak realistik, Nad banyak melakukan kajian termasuk menonton video, membaca artikel, serta melatih ekspresi dan gerak tubuh agar konsisten dalam setiap babak yang melibatkan serangan panik. Selain itu, beliau turut berusaha membina keserasian dengan pelakon cilik Mateen, yang memegang watak anaknya, Raiqal. “Alhamdulillah, Mateen sangat cemerlang dan banyak membantu saya menjayakan babak bersama,” ujar Nad.

Menurut Nad, beliau berharap watak yang dibawanya dapat memberi inspirasi kepada para wanita, terutamanya ibu tunggal. “Saya mahu kaum wanita, terutama ibu tunggal, dapat merasai perjuangan Nurin Hana. Semoga mereka terus kuat walaupun berdepan pandangan serong masyarakat,” katanya penuh harapan.

Bahagia Yang Tertangguh turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Kamal Adli, Izzue Islam, Rozita Che Wan, Datin Seri Nina Juren, Rosnah Johari, Riz Amin, Norreen Iman, Mimi Ernida, dan Adrean Mateen. Dengan kisah penuh emosi dan lakonan mantap barisan pelakonnya, drama ini dijangka menjadi antara karya paling dinanti-nantikan penghujung tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *