Lagu terbaru berjudul “Rasa Sakit Rasa Rindu” secara rasmi dilancarkan bersama video muziknya di saluran YouTube Luncai Emas serta semua platform digital. Lagu ini menandakan langkah strategik Luncai Emas untuk membawa karya-karya komposer di bawah naungannya menembusi pasaran Indonesia, susulan kejayaan lagu Tiara dan Isabella yang sebelum ini telah memikat pendengar di negara tersebut.
Kolaborasi ini mempertemukan komposer eksklusif Luncai Emas, Sang Hitam, dengan penyanyi terkenal Indonesia, Andrigo. Lagu ini adalah hasil karya asal yang dibawakan dengan penuh penghayatan, memberikan sentuhan Malaysia yang mampu menembusi hati pendengar muzik di Indonesia. Sang Hitam, yang juga seorang penerbit muzik, dikenali dengan lirik-lirik yang tajam, puitis dan penuh emosi, sering mengangkat tema kehilangan, cinta yang palsu, dan harapan yang rapuh. Beliau percaya lagu ini mampu menyentuh ramai pendengar melalui cerita tentang sakitnya kehilangan, indahnya rindu, dan ketakutan untuk membuka hati semula.

Andrigo, penyanyi asal Riau, Indonesia, yang terkenal dalam arena Pop Melayu, membawa pengalaman lebih 16 tahun dalam industri muzik untuk menyampaikan lagu ini dengan jiwa dan penghayatan yang mendalam. Lagu ini juga menjadi nafas baru dalam kerjayanya pada tahun 2025, menampilkan elemen muzik slow rock Malaysia yang unik dan istimewa. Kolaborasi ini tercetus daripada komunikasi awal Andrigo dengan pihak Luncai Emas untuk rakaman ulang lagu Isabella, yang kemudian membawa kepada realisasi single ini pada tahun 2025.
Diterbitkan secara bersama oleh Luncai Emas Sdn. Bhd. dan PT. Dua Suara Media Indonesia, lagu ini disusun oleh Sang Hitam dan diterbitkan oleh produser Dodhy dari Kangen Band. Single ini diharap dapat menawan carta muzik dan menyentuh hati pendengar serantau, sekaligus menjadi kesinambungan kepada kejayaan lagu-lagu terdahulu Luncai Emas di pasaran Indonesia. PT. Dua Suara Media sendiri merupakan label rakaman terkenal di Indonesia yang menaungi beberapa artis popular dan berjaya menghasilkan lagu-lagu luar negara yang mendapat persembahan tertinggi di Anugerah MACP pada tahun 2023 dan 2024.
Dengan pelancaran ini, “Rasa Sakit Rasa Rindu” bukan sahaja memperkukuh kerjasama muzik antara Malaysia dan Indonesia, tetapi juga menegaskan usaha Luncai Emas untuk memperkenalkan karya tempatan ke pentas antarabangsa melalui suara dan bakat artis dari kedua-dua negara.