Thu. Oct 16th, 2025

Penyanyi jazz tersohor tanah air, Noryn Aziz kembali menyemarakkan dunia muzik tempatan dengan dua hadiah istimewa buat para peminat yang setia menyokong perjalanan seninya. Selepas mengumumkan penganjuran showcase eksklusif bertajuk This Is Noryn Aziz yang bakal berlangsung pada 19 September 2025 di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur, beliau kini tampil dengan single terbaharu berjudul Kaki Kiriku. Kehadiran lagu ini menandakan kepulangan Noryn dalam dunia rakaman selepas sekian lama tidak melahirkan karya baharu, sejak kemunculan single baladanya Kertas yang penuh emosi dan pernah mencuri perhatian ramai.

Kaki Kiriku hadir dengan konsep yang unik dan segar, menggabungkan elemen jazz klasik, joget tradisional dan sentuhan Parisian jazz. Noryn menyifatkan lagu ciptaan Reza Salleh bersama Hin Ee Jeng dengan lirik tulisan Reza Salleh itu sebagai sebuah misi kecil untuk meraikan bahasa, budaya serta keanggunan wanita Melayu melalui muzik. Bagi Noryn, karya ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi juga simbol penghargaan terhadap warisan bangsa yang perlu terus dipelihara. Beliau sendiri bertindak sebagai Eksekutif Produser, memastikan setiap perincian produksi seiring dengan visi seninya.

Keunikan Kaki Kiriku semakin menyerlah dengan penggunaan tongue twister Melayu yang terkenal, antaranya “Kakakku kata kuku kakiku kaku, ku kikis kikis kuku kaki kiriku.” Elemen permainan lidah ini menjadikan lagu tersebut bukan sahaja lucu dan menghiburkan, malah mesra khalayak serta mudah diingati. Menurut Noryn, lirik yang mencabar ini membawa mesej bahawa bahasa Melayu bukan beban, sebaliknya menyeronokkan, penuh ritma dan bernilai untuk terus diwariskan kepada generasi baharu.

Muzik video rasmi Kaki Kiriku diarahkan oleh Revo dengan sentuhan kreatif Patt Ibrahim dan dirakam di Limapulo Terrace, Tong Shin. Dalam video tersebut, Noryn tampil anggun dalam persalinan kebaya rekaan pereka tempatan termasuk Collaborate Store, Four Season dan Calvin Thoo. Bagi beliau, kebaya bukan sekadar pakaian tetapi simbol warisan, keanggunan dan kekuatan wanita Melayu, sekali gus melengkapi konsep karya yang meraikan identiti Malaysia.

Selain pelancaran single, Noryn turut bersedia untuk memikat penonton dengan persembahan eksklusif This Is Noryn Aziz. Showcase ini menjanjikan pengalaman muzik yang intim, penuh jiwa dan bertenaga. Ia bukan sekadar konsert, tetapi sebuah naratif visual serta emosi yang merangkum perjalanan seni Noryn selama beberapa dekad. Persembahan dibahagikan kepada dua babak utama, iaitu Jazz & Soul yang bakal mempersembahkan karya-karya asli beliau daripada album terdahulu hinggalah ke lagu baharu seperti Kaki Kiriku, manakala babak kedua pula mengetengahkan R&B Celebration yang lebih kontemporari serta bakal menampilkan kolaborasi dengan artis jemputan.

Bagi Noryn, projek ini adalah cerminan dirinya sebagai penyanyi, wanita dan anak Malaysia. Beliau mahu membawa muzik jazz keluar daripada ruang eksklusif yang sering dianggap asing, lalu menjadikannya sesuatu yang dekat dengan masyarakat, penuh rasa dan sebati dengan lanskap bunyi Malaysia. Dengan gabungan jazz, joget, R&B dan identiti budaya tempatan, Noryn percaya karya-karyanya mampu membuka ruang baharu buat pemuzik generasi muda untuk terus bereksperimen tanpa rasa gentar terhadap genre yang selama ini dianggap niche.

Kaki Kiriku dan This Is Noryn Aziz bukan sahaja menandakan fasa baharu dalam kerjaya seni Noryn Aziz, tetapi juga menjadi lambang cintanya terhadap bahasa, budaya dan muzik tanah air. Ia adalah perayaan sebuah perjalanan seni yang matang, berjiwa dan penuh makna untuk dikongsi bersama para peminat.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *