Sharul Kamal, seorang penyanyi, komposer dan pelakon berbakat besar, kini mengorak langkah baharu dalam kerjaya seninya apabila secara rasmi bernaung di bawah label ternama Rocketfuel Entertainment. Perjalanan seni yang selama ini ditempuh sebagai penyanyi bebas kini memasuki lembaran baharu dengan dua buah karya yang cukup istimewa. Single pertamanya bersama Rocketfuel berjudul “Emas” telah dilancarkan pada 18 Ogos lalu lengkap dengan muzik video rasmi, manakala single seterusnya “Bayangan” dipilih sebagai runut bunyi rasmi untuk filem aksi yang dinanti ramai, Magik Rompak.
Bagi Sharul, keputusan menyertai Rocketfuel adalah satu anjakan besar yang penuh makna dalam hidupnya. Beliau menganggap peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar Rocketfuel sebagai rezeki dan batu loncatan untuk melangkah lebih jauh dalam dunia seni suara. Menurutnya, mempunyai pasukan yang memahami serta mempercayai visinya sebagai artis adalah sesuatu yang sangat penting, dan beliau yakin dengan sokongan serta pengalaman Rocketfuel, muziknya berpotensi menembusi pasaran bukan sahaja di Malaysia malah ke peringkat serantau.
Single “Emas” menampilkan sisi emosi Sharul yang penuh perasaan namun tetap mengekalkan elemen rock yang sinonim dengan identitinya sebagai penyanyi. Lagu ini bukan sekadar sebuah balada mellow bernuansa rock, tetapi simbolik kepada permulaan baharu dalam kerjayanya. Sharul sendiri melihat lagu ini sebagai tanda mula perjalanan seninya, sesuatu yang dapat menjadi jambatan untuk mendekatkannya dengan pendengar melalui kejujuran dan keikhlasan dalam setiap bait lirik dan melodi.
Tidak berhenti di situ, Sharul bakal hadir dengan single keduanya berjudul “Bayangan”, hasil ciptaannya sendiri bersama sahabat baiknya, Aepul Roza. Lebih istimewa, “Bayangan” dipilih sebagai lagu runut bunyi rasmi filem Magik Rompak yang menampilkan barisan pelakon popular tanah air antaranya Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Amelia Henderson dan Nadhir Nasar. Filem ini dijangka menjadi antara tarikan utama di pawagam apabila ditayangkan bermula 11 September 2025.

Sharul meluahkan rasa bangga dan teruja apabila “Bayangan” diberi kepercayaan untuk mengiringi sebuah filem berskala besar. Baginya, proses menulis dan merakam lagu ini sangat peribadi, dan apabila ia dijadikan OST, ia memberi nilai tambah serta membawa jiwa lagu itu ke layar perak untuk dinikmati bersama pengalaman penonton. Aepul Roza turut menzahirkan keterujaannya dapat kembali bekerjasama dengan Sharul, menyifatkan lagu ini bukan sahaja kuat dari segi melodi tetapi juga sarat dengan naratif yang mendalam dan sesuai dijadikan pelengkap sebuah naskhah filem.
Kehadiran dua buah single ini menandakan permulaan era baharu buat Sharul Kamal sebagai seorang artis serba boleh di bawah naungan Rocketfuel Entertainment. Ia membuktikan keupayaannya bukan sahaja sebagai penyanyi, tetapi juga penulis lagu yang mampu menghadirkan karya dengan jiwa dan keikhlasan. Sharul berharap agar “Emas” dan “Bayangan” dapat diterima peminat sebagai karya yang bukan sahaja menghiburkan tetapi turut meninggalkan kesan mendalam.
Kini, dengan gabungan bakat, vokal bertenaga dan sokongan penuh daripada Rocketfuel, Sharul Kamal bersedia melangkah lebih jauh untuk mewarnai industri muzik tanah air dengan karya segar dan berkualiti. Single “Emas” sudah boleh didengar di semua platform digital utama termasuk Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music, manakala “Bayangan” bakal menemui pendengar bermula 5 September 2025.