Semangat membara yang mahu disemarakkan bukan sahaja kepada pemain tetapi juga penyokong Harimau Malaya akhirnya dizahirkan melalui sebuah kerjasama erat antara Warner Music Malaysia (WMM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Hasilnya, lahirlah sebuah single berjudul Demi Lencana Di Dada yang bakal menjadi lagu rasmi skuad kebangsaan.
Dengan pengaruh Hujan sebagai salah satu band paling berpengaruh dalam industri muzik tempatan, kehadiran mereka dalam projek ini memberi nilai istimewa yang dijangka mampu menghangatkan suasana bola sepak negara. Lagu yang dilancarkan pada 5 September ini bukan sekadar sebuah karya muzik semata-mata, sebaliknya menjadi simbol perjuangan, semangat patriotik dan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia terhadap pasukan bola sepak tanah air.
Menurut Noh, vokalis kumpulan Hujan, projek ini mula dibangunkan sejak Februari 2025 bagi memastikan kualiti muzik, lirik serta mesej yang dibawakan benar-benar sampai ke hati. Katanya, peluang untuk menyanyikan lagu rasmi Harimau Malaya merupakan suatu penghormatan besar buat mereka kerana bola sepak sudah menjadi sebahagian daripada jiwa rakyat Malaysia. Menurutnya lagi, Demi Lencana Di Dada tidak hadir sebagai sebuah lagu biasa tetapi membawa semangat yang mampu menyatukan seluruh negara di belakang pasukan kebanggaan ini.
Sebagai simbolik pelancaran rasmi, lagu tersebut diperdengarkan buat kali pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September bersempena aksi persahabatan antara Malaysia dan Singapura. Ia turut akan dimainkan dalam perlawanan menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 8 September 2025.

Meskipun teruja dengan peluang yang diberikan, Hujan tidak menafikan berdepan cabaran besar ketika merakamkan lagu ini. Bagi mereka, bukan mudah untuk menyampaikan roh semangat dan jiwa Harimau Malaya secara ikhlas kerana karya ini tidak hanya berbicara tentang melodi, tetapi juga tentang simbol perjuangan, pengorbanan dan harapan. Setiap lirik dan setiap nada perlu dipastikan benar-benar mampu membakar semangat pemain di padang serta penyokong yang berada di stadium mahupun di rumah.
Muzik sejak dahulu menjadi antara elemen penting dalam menyemarakkan semangat bola sepak. Ia bukan sahaja menghubungkan satu generasi ke generasi yang lain, tetapi juga mampu menyatukan peminat daripada pelbagai latar belakang dan bangsa. Dengan kehadiran Demi Lencana Di Dada, semangat perpaduan itu diyakini akan terus kukuh, sambil memberikan dorongan kepada pemain untuk mengharumkan nama negara.
Hujan turut melahirkan harapan besar agar bola sepak Malaysia bukan sahaja terus maju di pentas antarabangsa, malah mampu menjadi medium penyatuan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang. Keyakinan mereka terhadap semangat Harimau Malaya cukup tinggi kerana bola sepak diyakini mempunyai kuasa luar biasa untuk menghubungkan masyarakat.
Sebagai rekod, Demi Lencana Di Dada merupakan lagu rasmi pertama pasukan kebangsaan yang dihasilkan menerusi kerjasama WMM dan FAM. Ia boleh distrim di semua pelantar digital bermula 5 September, manakala lirik video rasmi boleh ditonton melalui saluran YouTube Warner Music Malaysia.