Drama terbaru berjudul Rumah Tanpa Luka terbitan Suhan Movies & Trading bersama BamBam Studios kini menemui penonton di Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam mulai 1 September lalu. Menariknya, drama arahan Nur Ain Sharif ini menyorot isu yang jarang diketengahkan — kisah seorang kanak-kanak sindrom Down yang ditolak oleh ibu bapanya sendiri, serta pengorbanan seorang anak perempuan sulung yang terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ibu dan ayah dalam keluarga. Lebih menyayat hati, drama ini menampilkan lakonan kanak-kanak istimewa, Naura Arissa sebagai Rose Ameena, yang dijadikan simbol kekuatan dan ketabahan meski berdepan penolakan serta buli.
Menghimpunkan gandingan pertama Erysha Emyra, Shukri Yahya dan Nadhir Nasar, Rumah Tanpa Luka turut mengangkat persoalan “green flag” dan “red flag” dalam watak lelaki yang dibawa. Shukri Yahya membawakan watak Qiuzi, seorang mekanik yang memiliki lima bengkel kereta, digambarkan sebagai lelaki impian dengan sifat humble, setia, jujur, dan tidak pandai berfoya-foya. Beliau menganggap karakter ini sebagai sisi green flag yang jarang ditonjolkan dalam drama tempatan. Berbeza dengan Nadhir Nasar yang memegang watak Hayden Hayyan, seorang lelaki berperwatakan antagonis yang dilabel sebagai red flag kerana tindak-tanduknya. Namun, menurut Nadhir, watak ini sebenarnya seorang yang bertanggungjawab kepada keluarga, sekali gus mencipta lapisan emosi yang mencabar dirinya sebagai pelakon.

Pengalaman berlakon bersama kanak-kanak istimewa turut menjadi sorotan utama buat kedua-dua pelakon ini. Baik Shukri mahupun Nadhir, masing-masing mengakui berlakon dengan Naura Arissa bukanlah cabaran, sebaliknya satu pengalaman manis kerana beliau memberi komitmen penuh dan cepat menyesuaikan diri di set penggambaran. Kehadiran Rose Ameena sebagai tunjang cerita menjadikan drama ini sarat dengan nilai kasih sayang, perjuangan hidup, dan mesej mendalam tentang penerimaan terhadap anak istimewa.
Sinopsis drama ini mengisahkan Kalsum (Erysha Emyra) yang sanggup berkorban menjaga Rose Ameena meski dirinya dibuang keluarga. Kehadiran Qiuzi (Shukri Yahya) memberi sinar baru dalam hidup mereka, namun kebahagiaan itu tergugat dengan kemunculan semula Hayden Hayyan (Nadhir Nasar) yang membawa konflik baharu. Dengan plot penuh turun naik emosi, Rumah Tanpa Luka bukan sekadar hiburan tetapi cerminan realiti sosial masyarakat, menuntut penonton untuk menilai semula erti keluarga, pengorbanan, dan kasih sayang sejati.