Dunia kulinari bukan sekadar tentang rasa dan aroma, tetapi turut menjadi pentas penuh emosi, pengorbanan dan keberanian. Itulah yang dihidangkan menerusi drama terbaharu berjudul Me.N.U lakonan Nabila Razali dan Andi Bernadee yang mengangkat kisah cinta serta impian seorang wanita dalam meniti cabaran hidup.
Drama 10 episod arahan Faliq Sharif ini mengetengahkan Nabila Razali sebagai Lisa, seorang wanita yang berjiwa besar dalam mengejar cita-citanya untuk bergelar chef. Walaupun berdepan tentangan keluarga dan pelbagai ujian yang tidak terduga, Lisa tidak mudah mengalah. Kisah bermula apabila kerjaya Lisa mula goyah selepas dia cuba membela rakan sekerjanya yang dibuli, sekali gus mengundang konflik dalam hidupnya.
Dalam usahanya untuk membuka restoran sendiri, Lisa berhadapan cabaran besar apabila permohonan pinjaman banknya ditolak oleh Haris, lakonan Andi Bernadee, seorang pegawai bank yang tegas dan berprinsip. Pertemuan mereka yang penuh ketegangan mencetuskan hubungan seperti anjing dan kucing, sering bertelagah dalam setiap pertemuan. Namun, pertelingkahan itu lama-kelamaan bertukar menjadi detik-detik yang lebih mesra apabila satu kejadian menggugat kehidupan peribadi Haris, termasuk hubungannya bersama Alya Nova, seorang pempengaruh media sosial popular lakonan Puteri Awani.

Selain menampilkan Nabila dan Andi, drama ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon berpengalaman seperti Natasya Mahyan, Ako Mustapha, Noniswara dan Azizah Mahzan. Setiap watak memberi lapisan baharu kepada jalan cerita yang penuh warna, menjadikan Me.N.U bukan sekadar tontonan romantik semata-mata.
Menurut Nabila Razali, watak Lisa membawa banyak pengajaran kepada dirinya. Katanya, setiap langkah kecil mampu membentuk kekuatan besar dalam diri seorang wanita. Bagi Nabila, drama ini bukan hanya tentang cinta, tetapi turut merangkumi konflik keluarga, perjuangan anak muda dan semangat untuk terus berjuang walaupun jalan yang ditempuh tidak mudah.
Me.N.U hadir dengan resipi hiburan yang segar, menggabungkan humor, konflik dan inspirasi yang dekat dengan kehidupan sebenar generasi muda. Drama ini menjadi cerminan keberanian untuk mengejar impian tanpa menghiraukan halangan yang datang, sekali gus memberi mesej bahawa setiap pengorbanan pasti menghadiahkan sesuatu yang bermakna.
Tayangan perdana Me.N.U boleh ditonton bermula 11 September 2025 secara eksklusif di Tonton. Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti kisah penuh inspirasi ini yang pastinya menyentuh hati dan memberi motivasi kepada penonton.