Filem Sore: Istri dari Masa Depan terus mengukir sejarah baharu dalam perjalanan sinemanya. Selepas berjaya meraih lebih daripada 3 juta penonton di pawagam Indonesia, filem drama romantis fantasi ini kini melangkah ke pentas dunia apabila dipilih sebagai wakil rasmi Indonesia ke Anugerah Academy Awards (Oscar) ke-98. Filem arahan Yandy Laurens ini akan bertanding dalam kategori Best International Feature Film, sebuah pencapaian yang menjadi impian bagi banyak penggiat industri filem tanah air.
Pemilihan ini diumumkan oleh Komite Seleksi Oscar Indonesia (The Indonesian Oscar Selection Committee) yang ditubuhkan setiap tahun oleh Persatuan Perusahaan Filem Indonesia (PPFI) dan telah divalidasi oleh pihak Academy Awards. Dalam rapat pleno yang berlangsung pada 8 September 2025, komite tersebut menetapkan Sore: Istri dari Masa Depan sebagai karya terbaik untuk mewakili Indonesia di peringkat antarabangsa.
Produser filem ini, Suryana Paramita, menyatakan rasa syukur dan bangga atas kepercayaan besar yang diberikan. Menurutnya, pencalonan ini merupakan sebuah perjalanan baharu selepas sambutan luar biasa di dalam negara. Sutradara sekaligus penulis, Yandy Laurens, turut menekankan bahawa kesempatan ini adalah penghormatan yang tinggi untuk karyanya dan berharap dukungan masyarakat Indonesia akan terus mengalir demi kejayaan di pentas Oscar.

Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Sheila Dara, Dion Wiyoko, Goran Bogdan, Lara Nekic, Livio Badurina, Maya Hasan, dan Mathias Muchus. Menariknya, produksi ini juga menjadi kolaborasi antara Indonesia dan Kroasia, sekali gus memberi warna antarabangsa kepada hasil karya Yandy Laurens. Dengan ini, Sore: Istri dari Masa Depan bukan sahaja menjadi filem panjang keempatnya, tetapi juga filem paling berjaya dalam kerjayanya setakat ini.
Selepas kejayaan besar di Indonesia, filem ini dijadualkan untuk tayangan di rangkaian pawagam Malaysia bermula 25 September 2025. Kejayaan tersebut tidak hanya dicapai oleh tenaga produksi Cerita Films tetapi juga hasil sokongan barisan penerbit eksekutif dan kolaborator antaranya Melyana Tjahyadikarta, Queen Yeap, Slingshot Pictures, Imajinari, Miles Films, Studio Artemis, Jagartha, Trinity Entertainment Network, serta Dwidaya Amadeo Gemintang. Filem ini turut mendapat dukungan rakan rasmi seperti Artotel Wanderlust, SukkhaCitta, dan HMNS.
Dengan langkah besar menuju Oscar 2026, Sore: Istri dari Masa Depan kini membawa harapan tinggi bukan sahaja bagi penggiat filem tetapi juga untuk penonton Indonesia yang mendambakan karya tempatan diiktiraf di panggung dunia.