Tue. Nov 4th, 2025

Malam penuh memori tercipta di Mega Star Arena apabila Jung Yong Hwa, vokalis utama CNBLUE, mengadakan konsert solo pertamanya di Malaysia menerusi jelajah 2025 JUNG YONG HWA LIVE ‘Director’s Cut: Our Fine Days’. Lebih 2,000 peminat setia yang digelar BOICE hadir memenuhi dewan, sekali gus membuktikan pesona bintang Korea Selatan itu masih utuh dan memukau.

Sejak kemunculan awal, Yong Hwa berjaya memikat hati penonton dengan karisma tersendiri. Tampil segak mengenakan sut kemas dan berkaca mata, beliau memulakan persembahan dengan berjalan masuk dari kawasan penonton sebelum naik ke pentas utama. Aksi penuh simbolik itu seolah-olah menggambarkan perjalanan karier solonya sepanjang sedekad lalu. Lagu “One Fine Day” dan “Your City” menjadi pembuka tirai, sebelum beliau menyapa peminat dalam Bahasa Melayu dengan ucapan mesra, “Apa khabar sayang?”. Suasana menjadi lebih hangat apabila Yong Hwa turut berkongsi perasaannya, “Cuaca di Kuala Lumpur sangat panas, tetapi saya gembira dapat berjumpa anda semua sekali lagi!”

Keakraban penyanyi ini bersama peminat semakin terserlah apabila beliau sering menggunakan perkataan Melayu sepanjang konsert, antaranya “Mantap”, “Janji”, “Bagus” dan “Terima Kasih”. Malah, secara spontan beliau turut mempelajari perkataan baharu “Jerit semua!”, yang serta-merta mencetuskan sorakan gemuruh daripada penonton. Tidak ketinggalan, Yong Hwa sempat bertanya tentang makanan tempatan yang patut dicuba. Apabila peminat menyarankan durian, beliau secara berseloroh menjawab dalam Bahasa Inggeris, “Durian all day long?”, sekali gus mencuit hati penonton.

Konsert itu turut diserikan dengan kehadiran rakan rapatnya, Park Bo Gum, yang berada di Kuala Lumpur pada masa sama. Yong Hwa mendedahkan aktor popular Korea itu sempat meluangkan masa menemuinya di belakang pentas hanya dua jam sebelum konsert bermula, menambah lagi keterujaan peminat terhadap malam istimewa tersebut.

Sepanjang persembahan yang berlangsung lebih tiga jam, Yong Hwa bukan sahaja mempamerkan vokal mantap dan tarian bertenaga, malah menghiburkan peminat dengan pelbagai interaksi mesra. Beliau kembali ke pentas sebanyak dua kali untuk encore, termasuk mempersembahkan bakatnya bermain dram serta turun ke kawasan BOICE Zon untuk beramah mesra dengan peminat secara dekat.

Konsert solo sulung Jung Yong Hwa di Malaysia ini berakhir dengan penuh gemilang, meninggalkan kenangan manis dan momen indah buat semua yang hadir. Malam itu membuktikan bahawa karier solo bintang Korea ini semakin kukuh, sekali gus mengukuhkan hubungan erat antara beliau dan peminat setia di Malaysia.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *