Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) susulan dakwaan wujudnya hidangan arak secara bebas pada sebuah majlis rasmi kementerian berkenaan. Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan atau Toqqi, menyifatkan tindakan tersebut melampaui batas budaya negara dan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, segera memecat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing. Menurutnya, King Sing seolah-olah tidak peka dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan apabila membiarkan perkara itu berlaku pada majlis Global Travel Meet yang diadakan baru-baru ini. Toqqi turut menegur tindakan King Sing yang dilihat bersahaja melibatkan diri dalam majlis tersebut, sambil menyindir bahawa jika ingin minum secara peribadi, ia tidak sepatutnya dilakukan dalam acara rasmi kerajaan. Beliau turut menyelar pegawai kanan Islam di kementerian itu kerana gagal menasihati menteri berkenaan.
Mengulas isu tersebut, King Sing menjelaskan bahawa arak berkenaan tidak disediakan oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, sebaliknya oleh pihak penganjur acara. Bagaimanapun, Toqqi menegaskan kenyataan itu lebih mengecewakan apabila menteri sendiri mengakui pihak kementerian hanya ‘menumpang’ acara tersebut untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026. Katanya, situasi itu mencerminkan kelemahan kerajaan kerana terpaksa bergantung kepada pihak lain untuk melaksanakan acara rasmi negara. Toqqi turut menambah bahawa King Sing sebelum ini beberapa kali mencetuskan kontroversi, termasuk mencadangkan Bak Kut Teh sebagai hidangan warisan dan mempermainkan isu kalimah Allah pada stokin, serta mengkritik penggunaan bahasa Melayu menteri tersebut yang dianggap lemah. Justeru, beliau mendesak agar tindakan tegas diambil segera kerana menurutnya, King Sing tidak layak memegang jawatan penting dalam kerajaan.