FELDA Terus Komited Meneruskan Rundingan Bersama Kerajaan Negeri Terengganu. Berhubung isu yang melibatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Kerajaan Negeri Terengganu, FELDA menegaskan bahawa perkara ini telah dibincangkan secara rasmi dalam beberapa siri rundingan yang sedang berlangsung antara kedua-dua pihak. Dalam semua sesi tersebut, FELDA mengekalkan pendirian bahawa sebarang cadangan melibatkan perkongsian keuntungan atau penstrukturan semula pegangan aset hanya akan dibuat selepas dibentangkan dan mendapat kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa berkaitan, selaras dengan proses serta tatacara yang ditetapkan.
Dalam mesyuarat terakhir yang diadakan pada 2 Oktober 2025, FELDA dan Kerajaan Negeri Terengganu telah bersetuju untuk memperuntukkan tempoh selama 40 hari bagi mencari penyelesaian terbaik dan memuktamadkan rundingan secara konstruktif. Justeru, FELDA ingin menegaskan bahawa proses perundingan masih berjalan dengan baik dan harmoni, dan sebarang tanggapan bahawa rundingan telah terhenti adalah tidak tepat serta tidak mencerminkan situasi sebenar.
FELDA berpandangan bahawa rundingan berterusan amat penting bagi merapatkan jurang perbezaan pandangan antara kedua-dua pihak agar satu penyelesaian yang seimbang dan menyeluruh dapat dicapai. Proses ini turut melibatkan semua pihak berkepentingan, dengan matlamat memastikan keputusan yang diambil memberi manfaat kepada semua.
Sebagai agensi pembangunan tanah yang berperanan besar dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti peneroka, FELDA kekal komited untuk menangani isu ini dengan penuh tanggungjawab dan profesionalisme. Pendekatan berhemah serta berasaskan nilai MADANI menjadi panduan dalam setiap langkah, bagi menjamin keadilan dan kemampanan penyelesaian yang dicapai. FELDA yakin bahawa dengan semangat saling menghormati dan kerjasama erat bersama Kerajaan Negeri Terengganu, penyelesaian yang adil, mampan dan berpaksikan kepentingan rakyat dapat direalisasikan demi kesejahteraan bersama.