Kuala Lumpur Alami Sekatan Trafik Menyeluruh 23–28 Oktober Sempena Kehadiran Pemimpin ASEAN dan Rakan Dialog Dunia. Bermula 23 hingga 28 Oktober, ibu negara Kuala Lumpur akan mengalami sekatan trafik menyeluruh berikutan penganjuran Persidangan Peringkat Tinggi ASEAN yang bakal menghimpunkan semua pemimpin ASEAN serta rakan dialog dari Amerika Syarikat, China, Afrika Selatan, Finland dan lebih 12,000 delegasi antarabangsa. Menurut Kementerian Luar Negeri, seramai 20,000 anggota keselamatan dari seluruh negara akan dikerah bagi mengawal aliran trafik dan memastikan keselamatan sepanjang tempoh kehadiran para pemimpin dunia tersebut. Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLC3) memaklumkan beberapa jalan utama akan dikenakan total lockdown, termasuk Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P. Ramlee, Jalan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang, serta beberapa laluan strategik seperti persimpangan Jalan Ampang–Jalan P. Ramlee dan Jalan Stonor–Persiaran KLCC. Turut terlibat ialah beberapa lebuh raya utama seperti MEX, PLUS, ELITE, NKVE, Guthrie dan KL–Seremban yang akan mengalami penutupan sementara secara berperingkat. Di Putrajaya, kawasan sekitar KLIA dan laluan ke pusat bandar juga akan terkesan dengan kawalan lalu lintas ketat. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membenarkan penjawat awam yang tinggal dalam radius 25 kilometer dari kawasan terlibat untuk bekerja dari rumah sepanjang tempoh tersebut. Orang awam dinasihatkan untuk mengelakkan perjalanan ke kawasan pusat bandar kecuali jika benar-benar perlu bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan kelancaran keselamatan sepanjang persidangan berlangsung.