Thu. Oct 16th, 2025
MoU Projek BangkitMoU Projek Bangkit

TV AlHijrah telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam satu langkah strategik bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang media, dakwah dan pembangunan insaniah. Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan menumpukan usaha kepada penerbitan kandungan kreatif, promosi program-program MAIWP, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta pembangunan ummah secara menyeluruh. Antara hasil utama pemeteraian MoU ini ialah pelancaran Projek Bangkit, sebuah program realiti keusahawanan yang julung kali dianjurkan oleh MAIWP dengan kerjasama TV AlHijrah.

Projek Bangkit bakal menjadi platform transformasi keusahawanan yang menampilkan peserta daripada kalangan usahawan MAIWP, sekaligus mengangkat produk mereka ke peringkat nasional. Program ini juga membuka peluang kepada peserta untuk bersaing secara sihat sambil merebut pelbagai insentif dan sokongan perniagaan. Disiarkan selama lapan minggu di TV AlHijrah, program ini menampilkan tujuh episod pertandingan berdurasi 60 minit dan satu episod akhir berdurasi 90 minit. Setiap minggu, tiga peserta akan mempersembahkan idea serta produk mereka di hadapan panel juri yang terdiri daripada wakil MAIWP, TV AlHijrah dan usahawan selebriti jemputan. Juara keseluruhan akan membawa pulang geran RM50,000 daripada MAIWP serta penajaan promosi pengiklanan bernilai RM1 juta daripada TV AlHijrah.

Selain itu, peserta turut menerima pendedahan eksklusif melalui pelbagai platform TV AlHijrah, termasuk slot promosi khas dalam program Assalamualaikum, liputan berita di Berita AlHijrah, serta penerbitan kandungan digital di TikTok, Facebook, YouTube dan aplikasi AH Plus. Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed, berkata bahawa kerjasama ini adalah langkah penting dalam memperkukuh agenda pemberdayaan ekonomi ummah. “Projek Bangkit bukan sekadar pertandingan, tetapi medan membina keyakinan dan membuka ruang baharu kepada usahawan untuk berkembang. Kami yakin sinergi bersama MAIWP mampu menjadikan program ini batu loncatan besar bagi peserta yang terpilih,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa MoU ini selaras dengan misi TV AlHijrah untuk kekal sebagai stesen penyiaran Islam utama negara. “Kami berbangga menjadi medium penyiaran rasmi yang mengangkat kisah kejayaan usahawan MAIWP. Dengan kekuatan produksi dan platform penyiaran kami, Projek Bangkit akan memberi impak besar bukan sahaja kepada peserta, malah kepada masyarakat luas,” katanya lagi. Menurut beliau, TV AlHijrah percaya bahawa media berperanan penting sebagai agen perubahan sosial. “Projek Bangkit bukan sekadar tontonan, tetapi inspirasi. Kami mahu menjadikan televisyen Islam sebagai pemacu kepada lahirnya usahawan baharu yang berdaya saing dan berkat dalam perniagaan mereka.”

Kerjasama strategik antara MAIWP dan TV AlHijrah ini menjadi penanda aras baharu dalam usaha memperkukuh ekosistem pembangunan ummah melalui media Islam berautoriti. Ia juga membuka ruang kepada lebih banyak program berimpak tinggi yang bukan sahaja membangunkan keusahawanan, tetapi juga memperkasa masyarakat dari segi ekonomi dan spiritual.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *