Tue. Nov 19th, 2024

    Melalui muzik mereka, trio hip hop yang berpangkalan di Sabah ISOBAHTOS mempromosikan muhibah. Selaras dengan misi mereka, mereka bukan sahaja menunjukkan kehebatan rap mereka tetapi juga mempromosikan muzik dan karya yang dihasilkan kumpulan itu sebagai penulis lirik dan komposer.

    Dianggotai oleh 10 orang anak muda, ISOBAHTOS yang juga dikenali sebagai IsoB, antara lain mahu membawa, memartabatkan dan mewakili unsur seni budaya dan warisan tradisi masyarakat Borneo melalui muzik mereka dalam industri hiburan tanah air.

    Anggota ISOBAHTOS terdiri daripada Mohd Azizan Danial Abdullah (A.D); Diji Panis (D&G); Jay Adner James (ghidd); Ian Josue Jaideh (IAN J.); Oliver Ordine (Ibherrrr); Ramziwazizi (Ramzi Ali); Quenner Mitchell Pauzi (Quenner M.); Roysten Habirin Lapongan (RODB); Jesper Evans Dumali (RYT) dan Carey Didier Chin Zao Yuan (YERAC).

    Buktinya, single ARJIIBII (RGB) yang dilancarkan secara rasmi pada 8 April lalu di saluran YouTube ISOBAHTOS berjaya memperkenalkan mereka di persada seni.

    Tanpa menunggu lama, ISOBAHTOS akan melancarkan lagu bertajuk KADOS yang juga hasil ciptaan sepenuhnya daripada mereka dan IsoMeds Studio. Selain itu, mereka juga bertindak selaku penggubah dan penerbit bagi lagu ini.

    Menurut RODB, KADOS adalah buah tangan terbaharu mereka yang disifatkan hadiah buat semua peminat mereka.

    “Lagu ini adalah hadiah daripada kami kepada pendengar muzik ISOBAHTOS. Tajuk KADOS berasal daripada bahasa Indonesia ‘Kado’ yang membawa maksud hadiah. Hadiah dalam lagu ini merujuk kepada kebebasan atau kepuasan dalam diri selepas mencapai sesuatu yang diidamkan atau diingini,” katanya.

    Apa yang pasti, lagu KADOS ini bertemakan komedi gelap dengan unsur-unsur konsep fiksyen sains atau ‘sci-fi’ selain disesuaikan dengan jalan cerita video muzik lagu itu.

    “Cerita lagu ini bermula dengan suasana malam sambil berada di sebuah landskap tropikal diterangi oleh cahaya bulan. Sekumpulan kawan boleh dilihat berada di lokasi itu. Latar belakang sekumpulan kawan ini terdapat sebuah bas terbiar yang dan petanda ‘radioactive’. Secara tidak langsung, bas terbiar itu dihidupkan dengan lampu warna warni dihias dalam bas itu dan boleh dilihat satu konsol serupa dengan konsol sebuah kapal angkasa.

    “Begitu juga dengan video muzik yang mana ia diteruskan dengan sekumpulan kawan ini yang membuat perbuatan rawak, seperti bermain bola memakai sut angkasawan dan perkara lain yang janggal.

    “Selepas itu, salah satu anggota kumpulan sekawan ini mula terapung di udara dan secara tiba-tiba terdapat perubahan tona dalam muzik video ini. Rupanya, sekumpulan kawan ini terdedah dengan keracunan radiasi dan mengalami kemerosotan mental. Mereka sebenarnya berada di sebuah institusi hospital sakit mental dan sedang berkhayal mengenai semua aktiviti yang mereka lalui selama ini.

    “Pendek kata, maksud KADOS di sini adalah memori khayalan yang kami alami bersama-sama adalah hadiah yang menggembirakan diri kami masing-masing walaupun itu semua hanyalah mainan minda semata-mata,” katanya.

    Berkongsi mengenai proses penulisan lagu, RamziAli berkata, pada mulanya ia hanya sekadar satu sesi bebas ketika masih berada di dalam fasa pandemik.

    “Lagu ni tercipta hanya sebagai hiburan dalam kalangan ahli IsoB sendiri ketika bosan semasa musim PKP. Setelah hampir tiga tahun, barulah lagu ini diproses semula dan dirakamkan. Penulisan lirik dilakukan sepenuhnya oleh ISOBAHTOS sendiri yang mana kami bersama-sama ‘cross-check’ atau semak lirik masing-masing semasa proses penulisan lagu,” katanya.

    Menurut Ghidd, proses rakaman lagu KADOS cukup mematangkan mereka.

    “Proses rakaman lagu berjalan lancar dan hanya memakan masa tiga hari bagi proses rakaman suara selesai. Bagi proses rakaman video muzik KADOS pula ia mengambil masa yang singkat dan padat. Rakaman mengambil masa selama dua hari dan dijalankan di dua daerah yang berlainan, iaitu Kudat dan Kota Kinabalu,” katanya.

    Berkongsi pengalaman bekerjasama dengan semua yang terbabit dalam menjayakan lagu KADOS, IAN J dan Ibherrrr berkata, ia satu pengalaman yang amat bermakna buat IsoB dan menarik.

    “Kru produksi daripada Huntwo Studios pun sangat ‘sporting’, banyak memberi semangat dan haluan kreatif untuk menambahbaik idea sedia ada. Mereka juga memberikan kerjasama yang amat baik, serta berfikiran terbuka dengan idea daripada anggota IsoB.

    “Selepas beberapa kali bekerjasama, kami berasa amat selesa untuk bekerja bersama Huntwo Studio. Kerjasama diantara semua anggota kumpulan kami juga bertambah baik. Masing-masing semakin arif dengan tugas diberikan semasa bekerja,” katanya.

    Bagaimanapun, RYT dan Quenner M mengakui mereka tetap berdepan cabaran ketika menghasilkan lagu dan MV KADOS ini.

    “Bagi lagu, kami mencari masa yang sesuai untuk proses rakaman. Oleh kerana masing-masing dalam kalangan kami mempunyai kerja hakiki yang lain. Jadual masa itu agak berbeza-beza dan agak menjadi masalah untuk mencari masa yang sesuai untuk merakamkan lagu.

    “Lirik dan ‘flow’ juga berubah beberapa kali kerana rasa tidak berpuas hati dari segi kualiti yang terhasil. Oleh kerana kami ingin lagu ini menjadi komersial, kami cuba untuk buat lirik itu mudah difahami, dan elak penggunaan slang atau loghat Sabah yang mungkin tidak difahami oleh orang luar. Dari segi penulisan lirik dan melodi, kami tidak menekankan skil tetapi lebih kepada lagu santai.

    “Bagi penggambaran video muzik pula, jadual ‘shooting’ yang padat adalah cabaran terbesar kami. Faktor masa untuk kesemua anggota kumpulan berkumpul juga menjadi salah satu cabaran. Ada yang tidak tidur semasa proses rakaman MV kerana membantu rakan yang lain. Ada yang jatuh sakit kerana kurang rehat.

    “Selain itu, kostum yang dipakai juga agak mencabar. Banyak kali juga berlaku ‘wardrobe’ tidak berfungsi dengan baik ketika penggambaran dijalankan. Malah, ada anggota IsoB yang terkena renjatan elektrik,” katanya.

    Bagi A.D dan YERAC, mereka berharap agar pendengar musik ISOBAHTOS dapat memahami apa yang ingin disampaikan melalui lagu ini selain dapat menerima lagu ini untuk menghiburkan hari-hari mereka.

    KADOS bakal dilancarkan di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music pada 4 November 2022 jam 12 tengah malam manakala muzik video rasminya boleh ditonton di saluran YouTube ISOBAHTOS bermula jam 9 malam pada tarikh yang sama.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *