Mon. Oct 27th, 2025

Majlis Pelancaran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 peringkat Negeri Johor telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor, di Padang Kawad, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat bersempena Karnival Agro Johor 2025. Banci Pertanian 2024 dijalankan bagi memperoleh data asas yang komprehensif dan terkini mengenai sektor pertanian negara memandangkan kali terakhir banci seumpamanya dilaksanakan ialah pada tahun 2005. Hadir sama pada majlis tersebut ialah barisan kepimpinan negeri dan persekutuan termasuk YB Dato’ Zahari bin Sarip, YB Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd Khalid, YBhg. Dato’ Sri Norazman bin Ayob, YBhg. Dato’ Nor Sam binti Alwi serta YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir bin Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024.

Hasil banci mendapati Johor mempunyai 106,038 pegangan pertanian — terdiri daripada 102,460 pegangan individu dan 3,578 pegangan pertubuhan — menjadikannya negeri kelima tertinggi dari segi penyertaan dalam sektor pertanian selepas Sabah, Sarawak, Kedah dan Perak. Batu Pahat mencatatkan bilangan pegangan tertinggi di Johor dengan 18,719, diikuti Segamat (17,982) dan Muar (16,244). Walaupun berada di tangga kelima dari segi jumlah pegangan, Johor kekal sebagai penyumbang utama kepada nilai jualan pertanian negara dengan merekodkan RM27.3 bilion atau 16.9 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan pertanian Malaysia, diikuti Pahang (RM25.1 bilion) dan Sabah (RM23.6 bilion).

Nilai ini disumbang oleh prestasi cemerlang semua sub-sektor pertanian Johor — Tanaman (76.7%), Ternakan (17.2%), Akuakultur (3.7%) dan Perikanan (2.3%). Dari segi daerah, Kluang muncul sebagai penyumbang tertinggi dengan nilai jualan RM5 bilion, diikuti Kota Tinggi (RM4.3 bilion) dan Batu Pahat (RM3.8 bilion). Data turut menunjukkan Johor mempunyai 837.8 ribu hektar keluasan bertanam dan 750.9 ribu hektar keluasan bertuai, dengan lebih 70 peratus pengusaha berumur 46 tahun ke atas, dan lebih separuh memiliki sekurang-kurangnya kelulusan pendidikan menengah.

Dalam aspek guna tenaga, seramai 195,634 individu direkodkan terlibat secara langsung dalam sektor pertanian di Johor, merangkumi 141,392 pekerja di bawah pegangan individu dan 54,242 di bawah pertubuhan. Selaras dengan transformasi digital, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memperkenalkan Sistem Integrasi Pangkalan Data Digital Pertanian (TaniStats) — platform bersepadu yang menghimpunkan pelbagai data pertanian daripada agensi dan pemain utama industri. TaniStats turut menampilkan MyAgroPrice, satu platform interaktif yang memaparkan harga semasa produk pertanian di peringkat ladang, borong dan runcit, sekaligus membantu pengguna dan pembuat dasar membuat keputusan berasaskan data.

Banci Pertanian 2024 menandakan satu anjakan penting selepas hampir dua dekad, menyediakan data asas yang terkini dan granular sehingga ke peringkat lokaliti. Ia menjadi panduan kepada kerajaan dan pemain industri dalam merangka dasar serta strategi pembangunan sektor pertanian yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing. DOSM turut mengumumkan bahawa Malaysia akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) pada 2025, di samping mencatat kejayaan cemerlang apabila negara menduduki tempat pertama di dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 oleh Open Data Watch, mengatasi 198 negara lain.

Bersempena Hari Statistik Negara pada 20 Oktober bertemakan “Statistik Nadi Kehidupan” dan Hari Statistik Dunia Keempat bertema “Driving Change with Quality Statistics and Data for Everyone”, DOSM terus memperkukuh ekosistem data negara melalui platform OpenDOSM NextGen, yang menyediakan katalog data dan visualisasi interaktif di portal open.dosm.gov.my. Inisiatif-inisiatif ini membuktikan komitmen Malaysia untuk memperkukuh penggunaan data berkualiti tinggi demi pembangunan sektor pertanian dan ekonomi negara secara menyeluruh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *