Kami ingin merakamkan ucapan dan simpati kepada keluarga mangsa dan waris, dan kami berharap mereka yang terselamat segera pulih berikutan bencana tanah runtuh di Ladang Organik Bapa di Gohtong Jaya, Batang Kali, yang meragut 31 nyawa.
Susulan tragedi tersebut, ianya harus diambil iktibar dan pengajaran kepada semua pihak terutama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi-agensi penguatkuasaan lain dalam memastikan setiap perniagaan yang menyediakan perkhidmatan penginapan adalah berdaftar, berlesen dan selamat digunakan sebagai suatu tempat penginapan.
Perkara ini jelas telah terbukti apabila tiada tindakan awal yang telah diambil sehingga tidak dapat dengan segera mengesahkan jumlah mangsa yang tepat yang menginap dikawasan tersebut sehingga operasi mencari dan menyelamat (SAR) hampir selesai disamping juga tidak mendapat nasihat mahupun arahan daripada agensi-agensi yang boleh memberi amaran bahawa sesuatu kawasan itu tidak selamat serta terdedah kepada bencana.
Kegagalan dalam memberi khidmat nasihat serta mengambil tindakan tegas yang telah mengakibatkan tragedi yang tidak diingini ini akan memberikan gambaran negatif terhadap industri pelancongan terutama daripada aspek keselamatan penginapan khususnya kepada pelancong-pelancong luar negara.
Kami berharap supaya kerajaan yang baru ini haruslah berkesan dalam menyelesaikan ancaman-ancaman Industri Perhotelan terutama dalam mengambil tindakan yang segera dan tegas untuk menyelesaikan tuntutan industri perhotelan bagi memastikan Agensi Pelancongan Atas Talian (Online Travel Agencies / OTA’s) yang menjual penginapan-penginapan yang tidak berdaftar dan berlesen serta mengaburi pihak pengguna atau pelancong disamping memperkenalkan suatu rang undang-undang dalam mengawal selia Penginapan Kediaman Jangka Masa Pendek / Short-Term Residential Accommodation (STRA) yang jelas telah gagal dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu.
Dalam suasana norma baharu serta pengunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), ianya sungguh mudah untuk agensi-agensi penguatkuasaan untuk mencari, memantau, membimbing atau menyediakan khidmat nasihat serta mengambil tindakan tegas terhadap penyedia penginapan-penginapan yang gagal berdaftar mahupun berlesen tersebut dan ianya harus tidak menjadi alasan oleh agensi-agensi terlibat dengan hanya menunggu aduan atau sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku sebelum mengambil tindakan.
Kami ingin menyeru kepada pengguna dan pelancong untuk sentiasa memilih tempat penginapan yang berdaftar, berlesen dan selamat didiami. Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).