Yang Berhormat Senator Puan Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah mengadakan walkabout di Pasaraya Econsave di Jerantut hari ini dengan kerjasama Program Jualan RAHMAH.
Penduduk Jerantut boleh berjimat dan dapat mengurangkan kos belanja barang dapur dengan adanya Jualan RAHMAH ini di mana ayam standard bersih dijual pada harga RM7.99 sekilogram berbanding harga siling iaitu RM9.40 sekilogram. Manakala Telur Gred C pula dijual pada harga RM10.00 sepapan berbanding harga siling RM12.30 sepapan.
Lain-lain barang yang turut dijual pada harga yang menjimatkan antara 10%-30% lebih murah dari harga semasa setempat adalah:
- Ikan;
- Sayur-sayuran;
- Minyak masak;
- Gula;
- Tepung;
- Beras; dan
- Barangan yang telah diproses.
Setakat ini, Jualan RAHMAH telah dilaksanakan di 134 lokasi merangkumi 29 Kawasan Parlimen di seluruh negara. Pejabat KPDN Negeri Pahang komited untuk memperluaskan program Jualan RAHMAH ini ke semua Parlimen di Negeri Pahang secara berperingkat.
KPDN menyeru supaya lebih ramai lagi pemain industri khususnya hypermarket dan pasaraya supaya dapat bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan bagi menjayakan aspirasi ini.
KPDN ingin mengajak semua rakyat setempat khususnya pengguna di Jerantut untuk datang beramai-ramai berbelanja di Jualan RAHMAH di mana Inisiatif Payung RAHMAH dilaksanakan sebagai sebahagian dari usaha membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada [email protected].