Sun. Jul 20th, 2025

Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. Sambut Ramadan dengan Majlis Berbuka Puasa Bersama Pelajar Maahad Tahfiz Bustanul Quran

Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB), dengan kerjasama Hop On Hop Off, telah menganjurkan sebuah majlis berbuka puasa yang penuh makna dan doa selamat, bagi menghargai kakitangan serta jemputan khas, bersempena kedatangan bulan Ramadan yang penuh berkat. Majlis yang berlangsung di puncak Menara Kuala Lumpur ini bertujuan untuk mempereratkan hubungan silaturahim di antara warga kerja dan rakan-rakan strategik, sambil memperkukuhkan semangat kebersamaan di bulan yang penuh kemuliaan ini.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), MKLSB turut meraikan pelajar-pelajar dari Maahad Tahfiz Bustanul Quran, Kuala Lumpur, dengan memberi sumbangan khas untuk menyokong pembangunan dan pendidikan maahad tersebut. Tidak hanya itu, pihak pengurusan MKLSB turut menyampaikan duit raya kepada para pelajar, sejajar dengan usaha syarikat untuk memberi kembali kepada masyarakat dan membantu mereka yang memerlukan.

Bagi memeriahkan lagi pengalaman mereka, para pelajar dibawa melawat beberapa tarikan menarik di Menara Kuala Lumpur, termasuk Sky Deck, Sky Box, dan Observation Deck. Pengalaman menikmati pemandangan menakjubkan dari puncak Menara Kuala Lumpur memberikan kenangan yang pasti tidak dapat dilupakan oleh para pelajar, sekaligus menjadikan majlis ini lebih bermakna.

Encik Nazli bin Saad, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., dalam ucapannya menyatakan bahawa majlis ini bukan sekadar acara berbuka puasa, tetapi adalah satu usaha untuk mengeratkan hubungan antara syarikat dan masyarakat. “Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan kasih sayang. Di Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., kami berbesar hati untuk berkongsi rezeki dengan pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Bustanul Quran dan memberi mereka pengalaman yang berbeza di sini. Kami berharap sumbangan ini akan sedikit sebanyak membantu mereka dalam menuntut ilmu dan memberi kegembiraan menjelang Aidilfitri,” katanya.

Majlis diteruskan dengan bacaan doa selamat yang khusyuk dan laungan azan yang amat menyentuh hati, dipersembahkan oleh pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Bustanul Quran. Para tetamu kemudiannya menikmati hidangan berbuka puasa yang disediakan di TEMU Rasmi, yang menawarkan sajian iftar istimewa ‘Dari Dapur TEMU’, yang boleh dinikmati sehingga 28 Mac 2025.

MKLSB berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai satu usaha untuk menyemai nilai-nilai kemanusiaan, mengeratkan hubungan antara komuniti, dan menyebarkan kebaikan kepada masyarakat sekeliling.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *