Thu. Jun 19th, 2025

Mungkin namanya belum sehebat penyanyi Singapura lain yang sudah lama menapak di Malaysia, tetapi percayalah Ryzall Noh punya sesuatu yang istimewa. Dengan bakat menyanyi, mencipta lagu dan menerbitkan muzik, Ryzall tampil sebagai wajah baharu yang patut diberi perhatian.

Pernah menjadi vokalis utama kumpulan Audionauts sekitar 2010 hingga 2017, Ryzall telah memenangi pelbagai anugerah termasuk di Anugerah Planet Muzik dan Anugerah Compass Singapura. Kini, beliau bergerak solo dan semakin aktif menulis, menggubah serta menerbitkan lagu, termasuk untuk nama-nama besar seperti Dato’ Ramli Sarip, Altimet dan Addy Cradle.

Selain berbakat dalam muzik, Ryzall juga giat berkarya sebagai pelakon dan penulis lirik, serta aktif berkongsi konten muzik di media sosialnya seperti TikTok, Instagram dan YouTube. Tiga lagu terbaharunya Darwish, Tak Seindah Kata dan Sebuah Cinta mula mendapat perhatian ramai, bukan hanya di Malaysia dan Singapura, tetapi juga di radio Latin dan Sepanyol.

Lagu Darwish menjadi antara karya yang melonjakkan namanya, bukan sekadar kerana melodinya yang merdu, tetapi juga mesej puitis yang disampaikan. Menurut Ryzall, lagu ini menggambarkan cinta sejati yang penuh pengorbanan, serta perjalanan spiritual seorang insan biasa. Lirik indah hasil tulisan Hairul Anuar Harun menjadikan Darwish lebih bermakna.

Dengan segala pencapaian ini, tidak keterlaluan jika dikatakan Ryzall Noh kini bersedia menawan hati pendengar muzik Malaysia. Nama baharu, jiwa lama Ryzall menjanjikan sesuatu yang segar, jujur dan menyentuh rasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *