Melaka bakal mencatat sejarah apabila ikon muzik Tamil tempatan, Darkkey Nagaraja, tampil dengan konsert solo pertamanya bertajuk I Am Darkkey: King of Samba Rock Concert pada 2 Ogos ini. Persembahan istimewa itu dianjurkan Melaka Maju Peoples Charity Club (MMPCC) di lokasi penuh warisan, Panggung Bangsawan Melaka. Konsert ini hadir selepas kejayaan Darkkey menyumbang lagu tema filem Good Bad Ugly dari Kollywood, bertajuk AK The Tiger. Kejayaan tersebut menjadikan nama Darkkey kembali menjadi bualan bukan sahaja di Malaysia, malah dalam kalangan penggiat seni di India. Konsert ini diangkat sebagai penghargaan kepada legasi seninya yang bertahan sejak era 90-an.
Presiden MMPCC, T Manimaran berkata penganjuran konsert ini lahir daripada ilham kejayaan Darkkey dalam menembusi industri perfileman Kollywood. Semangat perjuangan seninya yang tidak pernah luntur menjadi inspirasi utama untuk merealisasikan konsert bersejarah ini. Lebih menarik, objektif utama penganjuran ini juga bersifat kebajikan, iaitu mengumpul dana untuk program bantuan seperti pendidikan, bantuan kepada anak yatim serta keluarga kurang berkemampuan. Sejak ditubuhkan pada 2019, MMPCC aktif sebagai NGO berpangkalan di Melaka yang menjadikan seni sebagai platform menyatu dan memberi. “Konsert ini bukan sahaja meraikan seni, tetapi juga menyokong misi kemanusiaan kami,” ujarnya.
Menariknya, konsert berdurasi dua jam itu turut mendapat sentuhan produksi Patahati Universe selaku rakan utama. Ia juga dijayakan dengan sokongan strategik daripada Tourism Melaka dan Panggung Bangsawan Melaka, serta kerjasama publisiti daripada Mewah Event Management dan iLasso Tickets. Tiket akan mula dijual pada 6 Jun ini menerusi ilassotickets.com dengan tiga kategori berharga RM69 (Puli Puli – Berdiri), RM79 (Akamage – Duduk), dan RM89 (Adiva Adiva – Duduk). Tiket duduk turut disertakan dengan lanyard eksklusif dan poster bertandatangan khas. Sambutan awal daripada peminat pelbagai bangsa membuktikan muzik mampu merentas batas dan menyatukan rakyat Malaysia.
Setiausaha MMPCC, S Partiben berkata, konsert ini juga menjadi langkah pertama organisasi itu dalam dunia penganjuran hiburan berskala besar. “Kami mahu memastikan pengalaman penonton benar-benar berbaloi, bukan sahaja dari segi persembahan, malah mesej kebajikan yang disampaikan,” katanya. Konsert ini juga akan menampilkan dua bintang muda, Santesh dan Zubir Khan, yang masing-masing membawa nafas segar dalam muzik Tamil kontemporari. Santesh mula dikenali menerusi lagu Amalina manakala Zubir mencuri tumpuan dengan Yennode Macha. Gabungan ketiga-tiga generasi ini dijangka memberi impak besar kepada peminat.
Panggung Bangsawan Melaka yang menjadi lokasi konsert pula bukan sekadar ruang persembahan biasa. Menurut Pengurus Besarnya, Datin Sukhirah Ibrahim, panggung ini pernah menjadi pawagam Cathay yang kini diberi nafas baharu oleh MCorp pada tahun 2024. Ia kini menjadi hab persembahan seni di tengah zon buffer UNESCO, menawarkan pengalaman bersejarah dan budaya kepada pelawat. “Konsert Darkkey ini adalah permulaan kepada revolusi acara seni di Melaka,” katanya. Panggung ini turut menarik minat produser luar negara termasuk dari Singapura dan Brunei.
Bagi pihak produksi, Cassandra dari Patahati Universe menyatakan penghargaan atas peluang menghidupkan kembali panggung ikonik ini dengan persembahan berkelas. Pihaknya melihat potensi besar untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi konsert dan seni persembahan alternatif kepada Kuala Lumpur. Dengan keunikan seni bina, nilai sejarah dan harga tiket yang berpatutan, Melaka dilihat mampu menarik pelancong dan pencinta seni serantau. “Konsert ini hanyalah permulaan kepada banyak lagi projek berskala besar yang akan kami bawakan,” katanya. Patahati Universe komited membawa nama-nama besar lain ke Melaka dalam masa terdekat.
Sebagai penutup, T Manimaran menyeru orang ramai supaya tidak melepaskan peluang menyaksikan gabungan legenda dan generasi baharu ini dalam satu malam penuh warna-warni. I Am Darkkey: King of Samba Rock Concert bukan sahaja meraikan perjalanan seni Darkkey, malah menjadi jambatan yang menyatukan pemuzik dan komuniti. Ia adalah simbol bahawa muzik Tamil tempatan masih kukuh berdiri dan terus berkembang. Dalam masa yang sama, konsert ini menyumbang kepada usaha murni untuk masyarakat. “Ayuh hadir dan jadikan 2 Ogos ini sebagai malam penuh sejarah dan memori,” ujarnya.