Program bual bicara pagi kegemaran ramai, Nasi Lemak Kopi O (NLKO), bakal menerima suntikan baharu apabila personaliti muda berbakat, Imran Aqil, diumumkan sebagai hos terbaharu bermula 2 Julai 2025. Kehadirannya dijangka membawa nafas segar serta menarik perhatian lebih ramai penonton dari pelbagai latar usia.
NLKO kembali menghiasi kaca televisyen sejak Januari 2024 selepas enam tahun direhatkan, dan kini bersiaran setiap Rabu hingga Jumaat jam 10:30 pagi di TV9, selain boleh distrim di platform Tonton. Program ini terkenal dengan pendekatan mesra dan informatif dalam mengupas isu-isu semasa, perkongsian gaya hidup, serta hiburan ringan yang dekat di hati rakyat Malaysia.
Imran, anak kelahiran Tapah, Perak, mula dikenali melalui program realiti dan kini aktif sebagai pencipta kandungan digital, hos serta aktivis masyarakat. Beliau sering terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan dan aktiviti sukarelawan, menjadikannya figura yang bukan sahaja berbakat, malah peka terhadap isu kemasyarakatan.
Dengan kehadiran Imran, barisan pengacara NLKO yang sedia ada seperti Fizo Omar, Affiza Azmi, Fakhrul Radhi, Ähmad Barr, Muaz Mohamed, Irfan Ali, Syamira Nazir dan Qila Shahirah bakal menjadi lebih dinamik. Imran turut menyatakan keterujaannya untuk menyertai keluarga NLKO dan berazam untuk menyumbang elemen inspiratif kepada program tersebut. “Saya teruja dan bersyukur dengan peluang ini. Semoga saya dapat berkongsi cerita yang memberi semangat kepada penonton dan menceriakan pagi mereka dengan segmen-segmen menarik,” ujarnya.

NLKO mengekalkan pelbagai segmen popular seperti ‘Isu Semasa’, ‘Aspirasi’, ‘Solusi Resepi’, ‘Poket Suri’, ‘Khabar Dari Palestin’ dan hiburan daripada pemuzik jalanan tempatan. Selain itu, rancangan ini turut menjadi platform untuk mengetengahkan kisah kejayaan dan inspirasi daripada usahawan tempatan.
Penampilan sulung Imran Aqil dijangka memberikan warna baharu kepada NLKO, seterusnya mengukuhkan kedudukannya sebagai program pagi pilihan utama rakyat Malaysia. Jangan lepaskan peluang menyaksikan gandingan serasi pengacara-pengacara NLKO dalam menyajikan pelbagai informasi dan hiburan bermanfaat untuk seisi keluarga.
Ikuti perkembangan terkini NLKO dan program-program menarik lain melalui media sosial rasmi TV9 di Facebook, Instagram, dan X (@TV9Malaysia) serta TikTok (@TV9MalaysiaOfficial).