TV3 memperkenalkan Rentak Dua Hati, sebuah telefilem istimewa yang bukan sahaja menjadi karya sulung arahan Siti Saleha, malah menjadi pembuka tirai kepada projek khas Dari Layar Ke Lensa sempena ulang tahun ke-41 stesen televisyen terkemuka negara itu. Membawa kisah seorang wanita berhijab yang mengemudi dua sisi kehidupan dan terjebak dalam cinta rentas bangsa, telefilem ini menjanjikan sebuah naratif yang mendalam, jujur, dan penuh makna.
Projek Dari Layar Ke Lensa merupakan inisiatif eksklusif oleh TV3 yang menampilkan empat nama besar dalam industri – Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick, dan Zahiril Adzim – yang kini tampil sebagai pengarah. Setiap telefilem dalam siri ini diangkat daripada pengalaman, idea, dan suara peribadi mereka, menandakan fasa baharu dalam pembikinan kandungan tempatan dengan pendekatan yang lebih autentik dan segar.
Dalam Rentak Dua Hati, penonton dibawa menyelami perjalanan Adila (lakonan Auni Yusri), seorang peguam muda yang menyembunyikan identitinya sebagai DJ malam demi mengejar minat dan kebebasan diri. Pertemuannya dengan Fabian (Zhen Ning), seorang lelaki berbangsa Cina, menyalakan bibit cinta yang tulus namun penuh cabaran. Konflik memuncak apabila rahsia Adila terbongkar kepada keluarga Fabian, lantas mencetuskan tekanan sosial, kecaman maya dan pertentangan nilai yang menyesakkan jiwanya.
Berkongsi tentang pengalamannya sebagai pengarah buat kali pertama, Siti Saleha berkata, “Saya sangat teruja kerana cerita ini benar-benar dekat dengan hati saya. Ia berkisar tentang kekuatan seorang wanita dalam menghadapi tekanan hidup, dan bagaimana dia belajar untuk berdiri atas kaki sendiri walaupun dipersoalkan masyarakat. Mengarah memang mencabar, tapi saya nikmati setiap detik di set.”
Tambahnya lagi, “Watak Adila mungkin mencerminkan ramai wanita di luar sana – mereka yang cuba mencari ruang untuk diri sendiri dalam dunia yang penuh jangkaan. Saya harap penonton dapat merasai emosi itu dan mungkin terinspirasi untuk terus menjadi diri sendiri.”

Pelakon utama Auni Yusri pula mengakui diberi kepercayaan membawa watak Adila merupakan satu pengalaman besar dalam kerjayanya. “Saya sangat bersyukur dapat bekerjasama dengan Kak Saleha. Dia banyak membimbing dan membantu saya memahami perjalanan emosi Adila. Ia satu cabaran yang indah dan membuka mata saya sebagai pelakon baharu.”
Turut membintangi Rentak Dua Hati ialah pelakon versatil Khatijah Tan dan Zhen Ning, yang bersama-sama melengkapkan gandingan pelakon dengan dinamika yang segar dan menyentuh. Kisah Adila yang tersepit antara prinsip, cinta, dan desakan masyarakat mengundang persoalan besar – beranikah dia memilih jalan yang benar untuk dirinya?
Jangan lepaskan peluang menonton tayangan perdana Rentak Dua Hati pada Sabtu ini, 5 Julai, jam 10 malam menerusi slot Cerekarama di TV3.
Tiga lagi telefilem daripada projek Dari Layar Ke Lensa turut menanti tontonan anda sepanjang Julai ini – Noktah Dosa arahan Fattah Amin (12 Julai), Susu Lima Kupang arahan Janna Nick (19 Julai), dan Pencuri Rumah Imam arahan Zahiril Adzim (26 Julai). Setiap karya dijanjikan dengan naratif unik dan sudut pandang berbeza daripada para pengarah selebriti ini. Saksikan semuanya, setiap Sabtu jam 10 malam hanya di TV3!
Untuk info lanjut dan sorotan eksklusif, ikuti @TV3Malaysia dan @dramasangat di semua platform media sosial.