Thu. Oct 16th, 2025

Sembilan tahun menyepi, kini sebuah legasi hiburan ikonik kembali dengan ledakan penuh gaya dan aura! TV3 dan Tonton membangkitkan semula semangat peminat industri hiburan dengan mempersembahkan Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) acara yang bukan sahaja meraikan selebriti, tetapi juga mengangkat impak sebenar mereka dalam dunia digital dan sosial. Diwarnai dengan penjenamaan baharu, format segar dan semangat rakyat sebagai juri mutlak, AMT 2025 bersedia menjadi pentas paling relevan dalam era pop kontemporari hari ini.

Mengangkat warisan program Melodi yang telah menghiasi kaca televisyen sejak 1993, AMT 2025 menampilkan pendekatan lebih terbuka, lebih merakyat dan lebih mendalam. Bukan sekadar nama besar yang diangkat, malah bintang digital, momen tular dan ikon inspirasi turut diraikan. Malam kemuncak yang bakal berlangsung pada 3 Ogos 2025 secara langsung di TV3 dan strim eksklusif di Tonton, dijangka menjadi malam penuh glamor dan sorakan rakyat.

Menurut Pengurus Besar Kandungan Program TV3, Puan Marlia Zul Amran, penganjuran AMT 2025 merupakan simbol revolusi hiburan moden. “Kami tidak lagi hanya meraikan siapa yang popular tetapi siapa yang membawa makna, pengaruh dan naratif luar biasa kepada masyarakat. AMT 2025 adalah pentas pengiktirafan dan inspirasi,” katanya penuh semangat. Malam gemerlapan itu bakal dikemudikan oleh gandingan serasi Ain Edruce dan Fikry Ibrahim, manakala Karpet Merah pula dipanaskan oleh Fiza Frizzy dan Imran Aqil secara langsung di TikTok.

Dengan slogan “Hangat Bukan Beshe-Beshe!”, AMT 2025 tampil dengan 11 kategori anugerah yang ditentukan sepenuhnya melalui undian rakyat Malaysia, termasuk kategori sensasi seperti Selebriti Drama Sangat Terhangat, Couple Goals Terhangat dan Selebriti Trending Terhangat. Tidak ketinggalan, Anugerah Ultimate AMT 2025 akan menobatkan figura paling berpengaruh yang benar-benar menggoncang industri hiburan sepanjang tahun.

Mekanisme undian yang inovatif turut menjadi nadi utama AMT 2025. Semua undian adalah 100% daripada penonton menerusi langganan TontonUP. Setiap undi bermakna satu suara, satu impak. Undian dibuka hingga 31 Julai 2025 menerusi laman rasmi AMT di Tonton. Pelanggan bulanan layak untuk 500 undian, manakala pelanggan tiga bulan menerima 2,500 undian. Ia bukan sekadar sokongan ia adalah kuasa sebenar rakyat dalam menobatkan ikon mereka.

Menambah hangat, AMT 2025 turut dikuasakan oleh dua nama besar: Samsung Galaxy sebagai penaja teknologi rasmi dan PROTON sebagai rakan kereta rasmi dengan kempen istimewa Anugerah Pilihan PROTON X50 Superstar. Pemenang utama bukan sahaja membawa pulang sebuah PROTON X50 baharu, malah peminat yang menempah kenderaan tersebut berpeluang memenangi tiket VIP ke malam AMT!

Kempen ini turut menjelajah seluruh negara melalui Melodi Terhangat Superstar Tour yang singgah di Johor Bahru (12 Julai), Bukit Mertajam (19 Julai) dan Kuantan (26 Julai), menyatukan selebriti, peminat dan gaya hidup dalam satu perayaan hiburan yang penuh gegaran.

Sejak 1993, Melodi telah menjadi suara hiburan nombor satu rakyat Malaysia. Kini, dengan siaran baharu setiap Khamis jam 9 malam di TV3 dan pengacara dinamik Ain Edruce serta Fikry Ibrahim, jenama Melodi terus berevolusi. AMT 2025 menjadi lambang legasi itu membara, membangkitkan dan mendefinisikan semula hiburan Malaysia.

Ayuh rakyat Malaysia! Raikan, undi dan sokong bintang pilihan anda kerana dalam AMT 2025, yang TERHANGAT itu adalah pilihan anda!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *