Tue. Jul 15th, 2025

Kuala Lumpur, 11 Julai 2025 — Nama Sam dari Bunkface sememangnya sinonim dengan tenaga pentas yang luar biasa dan lagu-lagu antemik yang membakar semangat generasi muda. Namun kini, beliau muncul dengan sisi berbeza – lebih jujur, lebih matang, dan lebih peribadi – menerusi projek solo pertamanya di bawah nama SAMSOL. Single sulung berjudul BORAK kini rasmi dilancarkan dan boleh dinikmati di semua platform penstriman digital.

BORAK bukan sekadar sebuah lagu pop yang catchy, tetapi sarat dengan mesej bermakna. Liriknya menyentuh isu yang jarang dibicarakan secara terbuka – pentingnya komunikasi jujur dalam hubungan, sama ada antara suami isteri mahupun pasangan kekasih. SAMSOL menzahirkan emosi dan keinsafan melalui lagu ini, menyeru agar ‘borak-borak biasa’ tidak dipandang ringan dalam menjaga kestabilan sesebuah perhubungan.

“Saya tulis lagu ni sebab saya percaya, kejujuran dan komunikasi terbuka adalah kunci utama untuk kekalkan kebahagiaan dalam hubungan jangka panjang,” ujar SAMSOL. “Kadang-kadang, satu perbualan ringkas boleh selamatkan banyak perkara dalam rumah tangga.”

Berbeza daripada imej pop punk yang dibawa Sam bersama Bunkface selama ini, BORAK memperlihatkan sisi kemanusiaan yang lebih dalam. Nada vokalnya masih bertenaga, tetapi dipenuhi dengan emosi yang lebih reflektif dan dekat dengan jiwa pendengar dewasa.

Lagu ini merupakan langkah pertama SAMSOL dalam membina identitinya sebagai artis solo yang membawa perspektif baru – tidak hanya hiburan, tetapi juga suara hati. Dengan gabungan melodi segar dan naratif yang tulus, BORAK membuka ruang kepada para peminat untuk melihat evolusi kreatif seorang Sam yang kini berani mendedahkan sisi dirinya yang sebenar.

Ikuti perjalanan solo SAMSOL dan dengarkan BORAK hari ini: https://samsol.lnk.to/BORAK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *