Pada 5 November 2022, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempengerusikan Minds for Malaysia 2022: Youth Empowerment Forum and Exposition: Shaping the Future (KLCC).
Acara dua hari ini merupakan kesinambungan kepada Persidangan Maya Minds for Malaysia 2021 (M4M): Bridging the Skills Gap yang telah diadakan pada 9 Oktober 2021 yang lalu dengan penyertaan kira-kira 12,451 peserta secara atas talian.
YAB Perdana Menteri juga akan turut memberikan ucaptama pada majlis tersebut. Beliau akan diiringi oleh Menteri Kewangan Malaysia YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Program ini adalah bertujuan untuk membina dan menyediakan kumpulan belia yang akan sentiasa relevan, sejajar dengan perubahan iklim pekerjaan dan industri di masa hadapan dengan memberikan panduan yang terbaik kepada para belia untuk menjadikan mereka sebagai tenaga kerja yang kekal relevan dengan era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan Ekonomi Digital.
Penganjur utama acara ini ialah Yayasan Go Strong Malaysia manakala Yayasan MyProdigy Malaysia merupakan penganjur bersama. Sehingga kini Yayasan Go Strong Malaysia telahpun melaksanakan pelbagai program pembangunan belia, khususnya untuk para belia yang berada di kelompok B40 serta mereka yang kurang berkemampuan.
Objektif penganjuran acara ini adalah bertujuan untuk merangka bentuk pemikiran kerjaya yang sesuai di kalangan para belia kita serta membentuk satu jangkaan yang realistik mengenai alam pekerjaan yang bakal atau yang telah mereka tempuhi. Program ini juga ingin memberikan pendedahan kepada para belia tentang peluang pekerjaan di era Ekonomi Digital dan IR 4.0 di samping mengetengahkan keusahawanan belia dan keusahawanan sosial serta kemahiran Teknikal dan Vokasional.
Berdasarkan jumlah penyertaan yang menggalakkan yang mencecah 12,451 peserta untuk program maya Minds For Malaysia 2021 yang dianjurkan tahun lepas, kami mendapati kumpulan belia sangat memerlukan panduan dan maklumat untuk membantu kebolehpasaran mereka dan dapat menyumbang kepada masyarakat.
Tahun ini kami inginkan program Minds For Malaysia yang memberikan lebih impak dan memenuhi keperluan strategik dengan menyediakan platform dan ruang yang membolehkan kumpulan belia berinteraksi secara terus dengan bakal majikan dan agensi kerajaan, di samping mengambil peluang untuk belajar dari sesi perkongsianilmu melalui sidang Forum. Inisiatif ini dapat menyumbang kepada agenda negara untuk mengurangkan kadar pengangguran di kalangan belia.
Selain tajuk-tajuk forum yang menarik seperti ‘Gig Economy and Freelancing – A Whole New Future of Work’, ‘Breaking Stigmas – Cultivating TVET Talents with the rise of IR 4.0’ dan ‘Empowering Youths Through Entrepreneurship and Social Entreprises’, peserta dan juga para pengunjung turut berpeluang untuk melihat pameran-pameran dari pihak agensi kerajaan, badan-badan korporat serta para usahawan yang bukan sahaja mempamerkan dan menjual produk serta perkhidmatan mereka bahkan juga menawarkan peluang kepada mereka yang berminat untuk menjadi usahawan atau memulakan perniagaan mereka sendiri.
Uniknya reruai pameran di Forum dan Exposisi Pemerkasaan Belia: Melakar Masa Depan ini akan disusun mengikut kluster berdasarkan minat belia masa kini seperti Seni & Budaya, Digital, Sukan & Rekreasi, Ekonomi Gig dan sebagainya. Golongan belia boleh meneroka peluang kerjaya yang ditawarkan dan sejauh manakah potensi dalam bidang tertentu sesuai dengan minat masing-masing.
Melalui acara ini juga, pengunjung akan berpeluang untuk mempelajari pelbagai panduan dan persediaan ke alam pekerjaan daripada pakar sumber manusia. Pengunjung juga boleh memohon pekerjaan melalui aktiviti “speed interview” dan “job matching” yang disediakan.
Minds For Malaysia 2022: Forum dan Exposisi Pemerkasaan Belia: Melakar Masa Depan ini terbuka untuk para belia, yang terdiri dari penuntut pusat pengajian tinggi, kolej atau lepasan sekolah, lepasan ijazah dan mereka yang baru bekerja. Oleh kerana sesi Forum terhad kepada 200 peserta untuk setiap topik, mereka yang berminat untuk menyertai forum dikehendaki untuk berdaftar secara atas talian di laman sesawang www.mindsformalaysia.com.
Pendaftaran adalah percuma.