Bukit Bintang ‘meletup’ petang semalam gara-gara kemunculan pelakon dan model yang kacak dari Korea Selatan, Lee Soo-hyuk, yang hadir dalam acara eksklusif Galaxy Unfolds Roadshow di Pavilion KL. Kehadirannya bukan sekadar penampilan selebriti biasa, malah mencetuskan fenomena luar biasa apabila lebih 2,000 peminat membanjiri kawasan tersebut, menukarnya menjadi seakan pentas konsert K-Pop berskala besar.
Lee Soo-hyuk diterbangkan khas oleh platform penstriman Tonton sempena tayangan drama thriller terbarunya S LINE, dan sambutannya di Malaysia nyata di luar jangkaan. Ribuan peminat mula berkumpul seawal jam 2 petang, walaupun beliau dijadualkan tiba pada jam 5. Setiap sudut Pavilion KL dari tingkat bawah hingga ke atas dipenuhi wajah-wajah penuh harapan yang mahu melihat bintang kesayangan mereka dari jarak dekat.
Keadaan menjadi semakin gamat apabila gelombang peminat mula berarak secara spontan dari Lot 10 ke pintu utama Pavilion, sambil mengangkat sepanduk dan melaungkan nama Lee Soo-hyuk. Sepanduk-sepanduk kreatif dengan mesej seperti “Lee Soo-hyuk’s die-hard fan is here!!!” dan “Tonton Lee Soo-hyuk” menghiasi perarakan kecil yang kelihatan seperti sambutan selebriti bertaraf dunia.
Sebaik kelibat Lee Soo-hyuk muncul, jeritan peminat bergema bagaikan letupan emosi. Ada yang melompat, ada yang teresak-esak, malah ada juga yang terdiam kaku kerana tidak percaya ‘oppa’ berada di depan mata. Seorang peminat di hadapan pentas dilihat menangis terharu, mencerminkan betapa dalamnya pengaruh bintang K-Drama ini dalam hati peminat Malaysia.

Yang lebih menyentuh hati, bukan sahaja warga Kuala Lumpur hadir, tetapi juga peminat dari seluruh negara termasuk Pulau Pinang dan Johor. Ada yang membawa sepanduk bersaiz gergasi sebagai simbol sokongan tidak berbelah bahagi. Kesetiaan dan pengorbanan mereka ternyata menyentuh perasaan Lee Soo-hyuk sendiri.
Dalam ucapan ringkasnya, beliau melahirkan rasa teruja dan terharu. “I’m so happy to finally meet Malaysian fans. I’m super nervous right now. Thanks for supporting me,” katanya sambil tersenyum lebar dan melambai tanpa henti kepada lautan manusia di hadapannya. Beliau turut menyatakan hasrat untuk kembali ke Malaysia dan mengucapkan terima kasih kepada Samsung atas peluang tersebut.
Namun detik paling epik yang membuat seluruh Pavilion KL bergema adalah ketika Lee Soo-hyuk melafazkan frasa dalam Bahasa Melayu, “Aku cinta padamu.” Laungan histeria dan tepukan yang menyusul hampir memecahkan siling pusat beli-belah berprestij itu!
Fenomena ini membuktikan betapa kuatnya pengaruh selebriti Korea Selatan di Malaysia, dan betapa setianya peminat tempatan dalam memberikan sokongan. Lee Soo-hyuk bukan sahaja mencipta momen indah buat peminat, tetapi juga meninggalkan memori manis yang bakal dikenang sepanjang zaman.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan sisi misteri dan mendebarkan Lee Soo-hyuk dalam drama S LINE, kini distrim secara eksklusif di Tonton. Dua episod pertama telah ditayangkan serentak dengan Korea pada 11 Julai lalu. Masa untuk anda selami sendiri dunia penuh teka-teki dalam S LINE hanya di Tonton.