Tue. Aug 5th, 2025

Selepas hampir empat dekad mengukir nama di persada seni suara tanah air dan antarabangsa, penyanyi legenda Dato’ Aishah kembali menghadiahkan peminat dengan sebuah karya baharu berjudul “Taman Keabadian”, ciptaan komposer berbakat besar Senna. Sarat dengan penghayatan dan emosi, lagu ini menjadi simbol keutuhan Dato’ Aishah dalam dunia seni seorang artis yang terus relevan, terus berkarya, dan terus menyentuh hati generasi demi generasi.

Mengangkat tema kehilangan insan tersayang, “Taman Keabadian” menyampaikan rasa rindu yang mendalam kepada ibu bapa, keluarga, sahabat, mahupun teman seperjuangan yang telah pergi meninggalkan dunia ini. Namun di sebalik kesedihan, lagu ini membawa mesej harapan dan keyakinan bahawa akan ada pertemuan semula di sebuah “negara abadi” yang penuh kedamaian.

“Hanya keyakinan untuk bertemu semula di alam abadi kelak yang dapat sedikit sebanyak mengubat kerinduan dan luka di hati. Berdoalah dan percayalah, kerana kita pasti akan bertemu semula di sana… di sebuah tempat bernama Taman Keabadian,” ujar Dato’ Aishah dengan nada penuh ketulusan.

Bagi Senna, lagu ini dicipta dengan sentuhan yang sangat peribadi. Beliau memilih Dato’ Aishah kerana percaya hanya suara dan jiwa penyanyi ikonik ini mampu menghidupkan roh lagu tersebut. “Ia menuntut penyampaian yang bukan sekadar teknikal, tetapi penuh spiritual. Saya yakin hanya Dato’ Aishah yang mampu membawanya dengan begitu mendalam,” jelas Senna.

Dato’ Aishah menzahirkan harapan agar lagu ini menjadi sumber kekuatan dan ketenangan buat mereka yang sedang melalui episod kehilangan. “Lagu ini saya tujukan kepada semua yang merindui insan tersayang yang telah pergi. Semoga ia menjadi teman dalam setiap doa dan pengubat jiwa,” katanya.

Perjalanan seni Dato’ Aishah bermula di peringkat antarabangsa sebagai vokalis kumpulan Aishah & The Fan Club yang berpangkalan di New Zealand pada era 1980-an. Kejayaan lagu seperti “Don’t Let Me Fall Alone” dan album “Sensation” menjadikannya artis Malaysia pertama yang menembusi pasaran muzik global serta menduduki carta Billboard. Sekembalinya ke tanah air, beliau terus mengekalkan kejayaan sebagai penyanyi solo melalui balada ikonik seperti “Janji Manismu”, “Cinta Beralih Arah”, “Bahtera Merdeka” dan “Kemaafan Dendam Yang Terindah”.

Dengan pelbagai anugerah berprestij termasuk kemenangan di Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik (AIM), dan penganugerahan gelaran “Dato’”, beliau kekal sebagai ikon budaya dan khazanah seni negara.

Bagi mengukuhkan lagi legasinya, Dato’ Aishah kini aktif di media sosial seperti Instagram (aishahjmm) dan TikTok (aishahjmm), berkongsi karya baharu serta versi remastered lagu-lagu malar segar beliau.

Single “Taman Keabadian” bakal dilancarkan di semua platform penstriman digital mulai 8 Ogos 2025, membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni penyanyi legenda ini.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *