Fenomena drama “Hilang Dalam Rindu” bukan saja melanda skrin TV dan FYP TikTok, tapi kini turut menyerang sesi live media sosial! Dua pelakon utama yang mencetuskan gelombang, Jazmy Juma dan Zarif Ghazzi, baru-baru ini tampil dalam satu sesi borak santai secara langsung dan ternyata, sesi itu lebih panas daripada yang dijangka.
Tanpa skrip dan penuh spontan, Jazmy dan Zarif melayan peminat dengan gaya bersahaja, sampai terlajak terbawa watak mereka sebagai Eijaz dan Sarip. Siap bersakat dan bergurau tentang watak Aira yang kononnya jadi rebutan mereka.
“Kau kat mana?” soal Jazmy dengan nada sinis, yang terus disambut Zarif, “Aku baru lepas hantar Aira tadi.” Jazmy pula membalas, “Kau jangan sampai aku pancitkan motor kau, Sarip!” dan dibalas selamba oleh Zarif, “Aku pancitkan pula BMW kau!”

Namun momen paling mencuri tumpuan adalah apabila Team Drama Sangat mula mengajukan soalan panas tentang DM mereka yang dikatakan penuh dengan mesej bukan sahaja daripada gadis-gadis muda, tapi juga mak-mak dan isteri orang! Reaksi mereka? Zarif sempat menjawab ringkas sebelum ‘cabut’, “Uishh… banyak.” Sementara itu, Jazmy pula sempat menyakat, “Zarif lari daripada soalan! Tapi ramai, ya.”
Lebih mencuit hati, Team Drama Sangat sempat bergurau bahawa kalau Eijaz gagal dapatkan Aira dalam drama, tak mengapa sebab realitinya, dia sedang dikerumuni peminat wanita. Tapi Jazmy cepat ‘selamatkan keadaan’ dengan penuh gaya gentleman, “Saya dah janji dengan Aira yang saya akan setia. Jangan buat saya macam ni.”
Chemistry antara dua aktor ini jelas tidak dibuat-buat. Baik dalam drama mahupun ketika live, mereka berjaya menghiburkan penonton dan peminat dengan personaliti yang begitu serasi. Tak hairanlah ruangan komen dibanjiri dengan reaksi peminat yang rata-ratanya terhibur, malah ada yang bergurau, “Pakcikk, kami nak Aira!”
Bagi yang belum move on dari drama ini, “Hilang Dalam Rindu” masih boleh ditonton setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda TV3, atau strim episod 24 jam lebih awal di Tonton www.tonton.com.my. Jangan lepaskan!