Setelah enam tahun mengukir nama dalam industri muzik tanah air, penyanyi rap dan penulis lirik berbakat, Bunga, kini melakar sejarah peribadi dengan pelancaran album sulungnya berjudul “Seharum Nama – Bunga”. Album ini akan menemui pendengar secara rasmi pada 8 Ogos 2025 di semua platform digital.
Mengandungi 10 buah lagu, album ini diibaratkan sebagai transisi perjalanan seni Bunga sejak memulakan kerjaya pada 2019. Setiap lagu dipilih dengan teliti bagi mencerminkan evolusi kematangan muziknya, merangkumi pelbagai genre dan emosi.
“Album ini adalah manifestasi diri saya terhadap muzik – penuh perasaan, perjalanan dan jiwa yang tulus. Prosesnya memakan masa dua tahun, dan setiap keputusan dibuat bersama pihak pengurusan untuk memastikan kepuasan pendengar,” ujar Bunga.
Sebagai pembuka tirai, Bunga memperkenalkan single terbaharu “Tak Tidur Malam”, yang dihasilkan bersama Amzar Razqa dan Amsyar Razqa. Lagu ini melalui pelbagai proses pra-produksi, termasuk sentuhan tiga jurutera berbeza dalam mixing dan mastering. Berinspirasikan bunyi dangdut, susunannya diolah semula sehingga memunculkan vibe “spooky” yang unik dan segar.

Selain Tak Tidur Malam, album ini turut memuatkan lagu-lagu seperti Buai, Jatuh, Dengarkanlah, Intan Payung (feat Noraniza Idris), Apadehal (2025 Mix), Jiwa Raga, ME[MAHA]MI, Nak Buat Cane?, dan Jalan Keluar.
Pelancaran rasmi album ini diadakan di TGV Suria KLCC, dengan sokongan sebagai penganjur bersama. Bunga turut berkongsi bahawa beberapa lagu memiliki video muzik berbentuk filem pendek seperti ME[MAHA]MI, Tak Tidur Malam, dan Dengarkanlah, yang membawa mesej tersirat tentang pencarian diri.
Sebagai simbolik pelancaran, edisi khas piring hitam “Seharum Nama – Bunga” turut diperkenalkan bersama koleksi merchandise eksklusif hasil kolaborasi dengan jenama High Cultured, yang akan berada di pasaran dalam masa terdekat.
“Saya mahu peminat merasai sisi berbeza daripada muzik saya. Kalau dulu orang kenal saya dengan Buai atau Intan Payung, kali ini saya tampil dengan warna baharu yang lebih matang,” kata Bunga menutup bicara.