Selepas lebih sedekad tidak menjejakkan kaki ke Malaysia, legenda R&B dan UK Garage dari United Kingdom, Craig David, bakal membuat kemunculan yang dinanti-nantikan menerusi konsert eksklusif “Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur” pada 10 November 2025 di Mega Star Arena.
Kehadiran Craig David kali ini membawa makna yang lebih mendalam apabila ia bertepatan dengan pelancaran album studio ke-9 beliau, Commitment, yang bakal diluncurkan pada 8 Ogos 2025. Album ini digambarkan sebagai karya paling peribadi sepanjang kariernya, dengan tema pencarian makna komitmen serta evolusi dirinya sebagai seorang artis. Commitment turut menampilkan kolaborasi istimewa bersama nama-nama besar seperti Tiwa Savage, JoJo, dan Louisa Johnson, menggabungkan nuansa nostalgia era Born To Do It dengan sentuhan muzik moden yang segar.
Konsert TS5 bakal menjadi tarikan utama buat para peminat kerana ia menggabungkan persembahan vokal langsung dengan set DJ yang penuh bertenaga konsep yang menjadikan Craig David fenomena global sejak 2012. Bermula sebagai rancangan radio dari apartmennya di Miami, TS5 kini telah menjelajah ke destinasi muzik antarabangsa seperti Ibiza, Dubai, London, dan Tokyo. November ini, buat pertama kalinya, konsep ikonik ini akan menemui peminat Malaysia secara langsung.

Penonton berpeluang menyaksikan rangkaian lagu hits Craig David yang merentasi dua dekad, termasuk Fill Me In, 7 Days, Walking Away, What’s Your Flava, dan When The Bassline Drops. Bagi yang mengikuti perjalanan seninya, konsert ini adalah peluang mengimbas semula momen-momen kegemilangan sambil menikmati persembahan bertenaga penuh karisma.
Craig David mula mencipta nama apabila berkolaborasi dengan Artful Dodger menerusi Re-Rewind, sebelum mencatat sejarah dengan single solo Fill Me In, menjadikannya artis solo lelaki termuda yang menduduki tangga pertama carta UK. Album debutnya, Born To Do It (2000), terjual lebih 7 juta unit di seluruh dunia dan diiktiraf oleh MTV dan The Guardian sebagai antara album terbaik sepanjang zaman. Sepanjang karier, beliau telah menjual lebih 13 juta album, meraih pelbagai anugerah termasuk 3 Ivor Novello Awards, 2 MTV Europe Music Awards, dan 14 pencalonan BRIT Awards. Pada 2021, beliau turut menerima gelaran MBE daripada mendiang Ratu Elizabeth II atas sumbangan dalam muzik dan kebajikan.
Tiket untuk “Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur” akan mula dijual tidak lama lagi. Para peminat digalakkan untuk mengikuti saluran rasmi penganjur bagi memastikan mereka tidak terlepas menyaksikan persembahan eksklusif yang dijangka menjadi antara konsert terbesar tahun ini.
Untuk maklumat lanjut, ikuti Craig David di Twitter – @craigdavid / @ts5, Instagram – @craigdavid / @ts5, atau Facebook – facebook.com/CraigDavid / facebook.com/TS5Official.