Di bawah tema “Inklusiviti dan Kelestarian” sempena Pengerusian ASEAN Malaysia 2025, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berjaya menganjurkan Mesyuarat Kumpulan Kerja Mengenai Indikator Matlamat Pembangunan Mampan ke-8 (WGSDGI8) pada 5 hingga 6 Ogos 2025 di Putrajaya.
WGSDGI, sebagai salah satu kumpulan kerja utama dalam Sistem Statistik Komuniti ASEAN (ACSS), memegang peranan penting dalam memajukan ekosistem data ASEAN dengan menyelaraskan metodologi, indikator serta memperkukuh keupayaan statistik negara anggota. Mesyuarat kali ini menghimpunkan 29 wakil dari negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN (ASEANstats), termasuk penyertaan maya dari Kemboja, Laos, dan Myanmar.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, menegaskan komitmen untuk membina ASEAN yang inklusif dan dipacu data. Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, yang juga Pengerusi Sidang ke-15 ACSS (ACSS15), menekankan kepentingan indikator yang relevan dan data tepat waktu untuk memastikan tiada siapa terpinggir dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Mesyuarat WGSDGI8 membincangkan pelbagai isu termasuk persetujuan terhadap ASI-CT, kemajuan Laporan Indikator SDG ASEAN 2025, Pelan Kerja Pelbagai Tahun WGSDGI 2026-2030, serta kerjasama dengan agensi antarabangsa seperti UN Women dalam statistik gender. Kajian rintis Small Area Estimation (SAE) turut dibentangkan untuk memperkukuh analisis statistik serantau.
Laporan Kemajuan Indikator SDG ASEAN 2025 dijangka diterbitkan pada September 2025 dan akan merangkumi pemantauan 147 indikator utama bersama sub-indikator dan indikator tambahan. Pelan Kerja Pelbagai Tahun WGSDGI diselaraskan dengan Pelan Tindakan ACSS 2026-2030, manakala Pelan Kerja Tahunan 2026 sedang dibangunkan untuk menyokong inisiatif ini.
Selain daripada aspek teknikal, delegasi turut merasai layanan mesra Malaysia yang mencerminkan komitmen negara dalam memupuk suasana harmoni dan kerjasama serantau dalam komuniti statistik ASEAN.
Di samping itu, Malaysia meneruskan kepimpinan serantau dengan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) dan mencatat kejayaan global dengan menduduki tempat pertama dalam Indeks Inventori Data Terbuka (ODIN) 2024/25, melonjak dari kedudukan ke-67 dalam penilaian 2022/23.
Kerajaan Malaysia juga telah mengisytiharkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara (MyStats Day) dengan tema ‘Statistik Nadi Kehidupan’, yang bersamaan dengan sambutan Hari Statistik Dunia Keempat bertemakan ‘Driving Change with Quality Statistics and Data for Everyone’.
Orang ramai boleh mengakses pelbagai data dan visualisasi melalui platform OpenDOSM NextGen yang boleh diakses di https://open.dosm.gov.my.