Thu. Nov 6th, 2025
Pemain JDT, Park Juenhong, berdepan asakan pemain Negeri Sembilan FC ketika cuba melakukan jaringan pada minit pertama perlawanan Liga Super Malaysia 2025/26 antara JDT dan Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim.Pemain JDT, Park Juenhong, berdepan asakan pemain Negeri Sembilan FC ketika cuba melakukan jaringan pada minit pertama perlawanan Liga Super Malaysia 2025/26 antara JDT dan Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim.

JOHOR BAHRU: Walaupun Negeri Sembilan FC (NSFC) tewas 3-5 kepada juara 11 musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT), dalam aksi sulung Liga Super Malaysia 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi, ketua jurulatihnya, Mohd Nidzam Jamil tetap berpuas hati dengan kesungguhan dan komitmen ditunjukkan setiap pemain. Beliau mengakui, berdepan JDT di gelanggang mereka bukan tugas mudah kerana skuad kendalian Xisco Munoz itu mendominasi permainan, namun semangat juang yang dipamerkan anak buahnya wajar dipuji.

Menurut Nidzam, aksi malam tadi memperlihatkan bahawa NSFC mampu memberikan cabaran kepada pasukan gergasi itu, malah beliau berbangga apabila pasukannya sempat mendahului 2-0 pada awal perlawanan. Namun begitu, beliau meluahkan rasa kecewa kerana kelebihan itu tidak dapat dipertahankan disebabkan beberapa kelemahan di benteng pertahanan, termasuk kegagalan menyekat ancaman daripada sepakan sudut dan kelemahan membentuk garisan ofsaid, yang memberi ruang kepada JDT untuk memanfaatkan peluang menjaringkan gol.

“Banyak perkara perlu kami kaji semula, terutamanya apabila berada dalam situasi mendahului. Kami perlu tahu bagaimana untuk mengawal rentak permainan, terutamanya di stadium JDT yang terkenal dengan tekanan tinggi daripada pasukan tuan rumah. Mereka bermain dengan membuka permainan secara meluas dan memiliki barisan tengah yang mantap, menjadikan ia sukar untuk kami menyaingi mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Nidzam berkata ketiadaan dua tonggak utama, iaitu penyerang kebangsaan Luqman Hakim Shamsudin yang mengalami kecederaan otot lima hari lalu, dan pertahanan Ahmad Khuzaimee Piee yang masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan lutut, sedikit sebanyak mempengaruhi perancangan pasukan. Namun, situasi itu turut membuka peluang kepada pemain lain seperti N Javabilaarivin, yang beraksi dalam saingan Liga A1 sebelum ini, serta Zainal Abidin Jamil yang bermain agresif di posisi pertahanan, untuk membuktikan kemampuan mereka.

NSFC kini memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya menentang PDRM FC dalam saingan Piala FA di laman sendiri. Nidzam menegaskan bahawa pasukan perlu memperkemaskan segala aspek permainan dan mengekalkan tahap kesungguhan seperti yang ditunjukkan ketika menentang JDT, demi memastikan skuad Rusa mampu mencatat keputusan positif pada aksi akan datang.

CREDIT : Rizar Mohd Noor – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *