Petaling Jaya, 26 September 2022 –Tahniah kepada peserta separuh akhir, Shaz dan Rahmad Mega (kapten Hael), Hazami (kapten Akim), dan Aqmal (kapten Naim), yang kini akan meneruskan usaha mereka untuk memenangi mahkota Terpaling Juara dan hadiah wang tunai RM100,000!
Episod 6 Terpaling Juara pada malam Ahad lepas yang bertemakan ‘Duet’ telah menyaksikan para peserta berduet dengan artis-artis pilihan seperti Stacy, Aizat Amdan, Ayda Jebat, Nikki Palikat dan Cliff Umar. Episod tersebut juga diserikan dengan persembahan istimewa oleh Liza Hanim (Getaran Cinta Di Jiwa) dan Dayang Nurfaizah (medley Seandainya Masih Ada Cinta & Lelaki Teragung).
Berikut ialah senarai Pilihan Lagu Terpaling yang telah berlangsung pada episod lepas (25 September):
- Kisah Cinta Kita (AJL34, nyanyian asal oleh Hafiz Suip) – Aqeesh & Cliff Umar
- Ku Bersuara (AJL34, nyanyian asal oleh Ernie Zakri) – Shaz & Nikki Palikat
- Keliru (AJL17, nyanyian asal oleh Nurul & Ajai) – Rahmad Mega & Ayda Jebat
- Pelangi Senja (AJL27, nyanyian asal oleh Stacy) – Hazami & Stacy
- Terukir Di Bintang (AJL27, nyanyian asal oleh Yuna) – Aqmal & Aizat Amdan
Shaz (kapten Hael) berjaya memberikan persembahan yang memukau dengan kolaborasi mantap dengan Nikki Palikat menerusi lagu duet ‘Ku Bersuara’ (AJL34, nyanyian asal oleh Ernie Zakri) sekaligus memenangi persembahan terbaik di pentas Terpaling Juara buat kali ketiga serta menerima hadiah wang tunai sebanyak RM 5,000.
Peserta paling muda, Aqeesh (kapten Akim) terpaksa meninggalkan pentas Terpaling Juara selepas keputusan penyingkiran diumumkan semalam. Turut berada di tangga paling corot dengan Aqeesh ialah Aqmal (kapten Naim).
Menurut Akim Ahmad, “Saya kecewa apabila keputusan malam ini tidak memihak kepada Aqeesh kerana saya rasa Aqeesh patut ada lagi untuk minggu hadapan. Sebelum ini, Aqeesh berada di Top 2, jadi saya terkejut dengan penyingkiran ini. Namun, tidak mengapa, semuanya rezeki dan pembakar semangat kepada Aqeesh. Yang paling penting, perjalanan Aqeesh di luar sana dan ia bukannya titik terakhir atau noktah bagi Aqeesh. Aqeesh ada bakat yang besar dan luar biasa. Aqeesh baru 18 tahun, perjalanan masih panjang dan boleh menerokai macam-macam lagi. Saya doakan yang terbaik buat Aqeesh.”
Peserta paling muda ini telah memberikan persaingan yang hebat. Kebolehan beliau untuk menari sambil menyanyi juga dilihat sebagai potensi besar untuk mengikut jejak Stacy. Aqeesh turut menerima pujian daripada kedua-dua juri tetap iaitu Dato’ Hattan dan Fauziah Latiff sejak awal pertandingan lagi.
Episod akan datang bakal menyaksikan Aqmal, Hazami, Rahmad Mega dan Shaz menjayakan tema ‘band’ dengan senarai pilihan lagu berikut:
- Aku Skandal (AJL24, nyanyian asal oleh Hujan) – Aqmal
- Aurora (AJL24, nyanyian asal oleh Estranged) – Hazami
- Kejora Ku Bersatu (SFMM15, nyanyian asal oleh Search) – Rahmad Mega
- Hanya Namamu (AJL30, nyanyian asal oleh Caliph Buskers) – Shaz