Fenomena drama tempatan kembali menggila dengan kehadiran Hilang Dalam Rindu yang kini menjadi bualan hangat di Malaysia dan negara jiran. Jika sebelum ini Melur Untuk Firdaus mengangkat gandingan ikonik Anna Jobling dan Meerqeen ke puncak populariti, kini giliran Jazmy Juma dan Tracie Sinidol pula mencuri tumpuan sebagai pasangan drama terhangat masa kini.
Rahsia pesona mereka terletak pada chemistry semula jadi yang terpancar dalam setiap babak. Walaupun tanpa adegan bersentuhan, renungan mata, senyuman kecil dan dialog yang dilontarkan sudah cukup membuat penonton cair. Malah, ramai peminat dari Indonesia turut menyuarakan harapan agar ada momen lebih mesra antara dua bintang muda ini, menandakan betapa kuatnya daya tarikan mereka di skrin.
Di luar drama, Jazmy dan Tracie terus menambahkan keyakinan peminat bahawa mereka adalah “perfect match”. Interaksi santai mereka di TikTok, termasuk balas komen dan video spontan, mencetuskan kegilaan baharu. Timeline Twitter dan TikTok pula tidak pernah sepi dengan edit romantik, fan art, hinggalah fan fiction hasil kreativiti peminat yang menjadikan wajah mereka trending setiap kali episode baharu disiarkan.

Fenomena ini turut mengundang desakan daripada peminat untuk melihat Jazmy dan Tracie digandingkan lagi dalam projek masa depan. Malah, semasa siaran langsung TikTok Live Drama Sangat bersama Dato’ Rosyam Nor dan Jazmy Jumaat lalu, lebih 3,000 penonton membanjiri ruangan komen dengan cadangan agar Hilang Dalam Rindu diteruskan ke musim kedua, siap dengan idea menghasilkan “HDR Raya Special”.
Gelaran “golden couple drama Malaysia” yang suatu ketika dahulu sinonim dengan Anna Jobling dan Meerqeen kini dilihat berpindah ke tangan Jazmy dan Tracie. Populariti mereka melonjak pantas, chemistry semula jadi semakin memikat, dan sokongan peminat antarabangsa membuktikan bahawa pasangan ini bukan sekadar fenomena sementara, tetapi ikon baharu drama tanah air.
Dengan hanya tiga episod berbaki, debaran pengakhiran Hilang Dalam Rindu kian terasa. Adakah kisah cinta ini akan berakhir dengan kebahagiaan atau airmata? Jangan ketinggalan untuk menyaksikan kesudahannya setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di slot Samarinda TV3, atau strim 24 jam lebih awal di Tonton melalui www.tonton.com.my.