Sempena sambutan bulan kemerdekaan, penyanyi rap dan penulis lirik tanah air, Balan Kash, tampil dengan karya terbaharu berjudul “Cekap”, sebuah video muzik yang bukan sahaja menonjolkan sisi kreatifnya sebagai artis serba boleh, malah membawa mesej mendalam tentang perpaduan, identiti dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.
Lebih istimewa, “Cekap” yang dihasilkan di bawah terbitan Balan Kash Entertainment ini menyatukan gabungan hip-hop moden dengan elemen muzik tradisional, sekali gus memperlihatkan keberanian Balan Kash dalam mencipta sebuah karya yang melampaui sekadar hiburan. Lagu ini turut menjadi judul album penuh pertamanya dalam bahasa Melayu, melambangkan keyakinan dan kebolehannya dalam menjangkau audiens lebih luas.
MV arahan Kinggolddigga membawa penonton mengembara ke dalam visual penuh simbolik yang merangkumi kisah identiti dan perpaduan rakyat Malaysia. Ia dimulakan dengan adegan Dikir Barat, simbolik kepada warisan budaya yang dipertautkan bersama gaya hip-hop kontemporari. Babak di pusat derma darah pula menjadi metafora kepada persamaan asas setiap insan, bahawa walau berbeza bangsa, agama mahupun budaya, rakyat Malaysia tetap berkongsi darah yang sama.

Kemuncak visual hadir menerusi adegan “Circle of Unity”, di mana sekumpulan individu berbilang kaum mencelup tangan mereka ke dalam cat merah lalu membentuk lingkaran identiti bersama. Adegan dramatik yang memaparkan pertemuan antara Balan Kash dan pihak polis, diakhiri dengan perjabatan tangan sebagai simbol perdamaian dan persefahaman, menegaskan lagi mesej semangat serta kekuatan perpaduan negara.
Balan Kash yang dibesarkan di Klang, menyifatkan “Cekap” sebagai karya paling peribadi sepanjang kerjayanya. Menurutnya, lagu ini adalah dedikasi buat tanah air tercinta, sebuah cerminan bahawa walau apa pun cabaran, rakyat Malaysia akan tetap berdiri bersama. Katanya, Malaysia adalah rumah kepada masyarakat majmuk yang penuh warna-warni, dan kekuatan sebenar hanya akan terhasil apabila semua bersatu hati.
Karya ini turut mendapat sokongan Dana Kandungan Kreatif (DKK) melalui MyCreative Ventures dan Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM), sekali gus menandakan pengiktirafan penting terhadap usaha penggiat seni tempatan dalam memperkukuh industri muzik tanah air.
Kini, MV rasmi “Cekap” boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube rasmi Balan Kash. Dengan mesej kuat tentang kebanggaan, cinta tanah air dan semangat perpaduan, karya ini pasti akan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus menghargai kepelbagaian budaya serta kekuatan bersama yang dimiliki.